Sungguh kekangan masa membuatkan aku teringin untuk bersiar-siar di luar sana. Menghirup udara segar untuk seketika cuma. Baru tersedar masa cuti ini tidak diperuntukkan dengan sebaiknya buat diri sendiri. Maka aku terus mengajak Marissa pergi ke taman permainan di belakang rumah. Sambil melihat Marissa and the geng main kejar-kejar, aku hanya duduk santai di bangku yang disediakan. Di sebelah ada dua orang remaja perempuan sedang berborak. Awal remaja mungkin. Mata mengawasi si kecil Marissa tapi telinga kadang-kadang terdengarkan perbualan remaja di sebelah.
"
.................... susahnya nak jadi baik ...................."
Perbualan yang lain tidak aku endahkan cuma sebaris ayat di atas yang diungkapkan salah seolah daripada mereka membuatkan aku tersenyum. Susahnya nak jadi baik. Ayat itu juga pernah diungkapkan oleh mulut aku dulu. Permulaan untuk menjadi baik itu banyak ujiannya. Sungguh.
Perjalanan ini kita mulakan dengan niat untuk menjadi baik. Melangkah dengan penuh harapan, agar dibalas dengan semanis keindahan. Tanpa kita sedar, jalan yang dipilih bukan mudah untuk dilalui. Ramai yang sudah tersungkur walaupun belum sempat kakinya melangkah. Bila kita berjalan, kita akan dipandang sepi. Bila kita berlari, kita akan dikeji. Bila kita berkata, kita akan dikata. Bila kita terjatuh, kita akan dikutuk. Bila kita mendekati, mereka akan menjauhi.
Alangkah runtunnya hati ini, bila kita berkorban mengharapkan yang terbaik tapi kita pula dihamburkan dengan kata-kata nista. Dugaan demi dugaan yang datang tiba-tiba membuatkan bibir kita berkata, "susahnya nak jadi baik." Rasanya seperti ingin lepaskan diri. Membiarkan ia bebas dan terbang tanpa ikatan. Hati mula rapuh, pendirian mula bergoyah. Semakin lemah kaki melangkah, semakin lesu hati berkata, semakin mata kita berkaca.
Tiba-tiba, satu suara memberitahu satu cerita. La Tahzan, La Tahzan, La Tahzan. (Jangan Bersedih, Jangan Bersedih, Jangan Bersedih) Kata-kata yang memberi seribu makna, kembali menyegarkan jiwa. Lantas kini, diri ini teguh berdiri. Hati ini meragut kembali sejuta misi. Kembali dengan wajah yang sama tetapi membawa semangat yang lebih berganda banyaknya. Dengan izin Allah, pengembaraan diteruskan hingga lah sekarang. Kembara Hamba Mencari Cahaya pasti akan diteruskan hingga akhir hayat. Permulaan yang pahit dahulunya moga Allah balas dengan keindahan di pengakhirannya. Moga Allah Redha.
P/S: Mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis. Jalan ke syurga itu penuh dengan onak dan duri, jalan ke neraka itu penuh dengan keju dan roti. Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. May Allah Bless Us! Assalamualaikum :)
Wassalam.
Ilaliqa'.