Saturday, September 17, 2011

Marah Atau Sabar Dalam Menghadapi Musibah?



Assalamualaikum. Sesetengah manusia memang sentiasa merungut itu dan ini jika apa yang dikehedakinya tidak dituruti. Ada juga manusia yang melenting dan marah jika ada musibah yang melanda diri mereka. Tidakkah mereka tahu setiap kejadian itu sudah tertulis hikmahnya? Mari baca sebuah cerita yang mungkin pernah terjadi ini.




Hanif menuju ke keretanya yang elok terparkir dihadapan bangunan pejabat. Tergesa-gesa langkahnya. Ya! Dia sudah lewat menuju ke airport. Hari ini kejayaannya bergantung kepada sebuah tender yang bernilai berjuta-juta ringgit dan untuk itu dia harus terbang ke Paris untuk mendapatkannya. Kereta dipecut selajunya namun objek besi itu mula bergerak perlahan. Kesesakan lalu lintas sudah menunjukkan belang! Dikerling jam berkali-kali. Pelbagai makian yang keluar daripada mulutnya akibat perasaan marah yang sedang memlilit hati.


Tanpa membuang masa, Hanif keluar daripada kereta dan mula membuka langkah seribu. Perasaan malu dengan orang ramai tidak dihiraukan lagi. Harapannya hanya satu, supaya kapal terbang yang dinaikinya tidak berlepas lagi. Namun malangnya, sebaik sahaja sampai ke airport, penerbangan ke Paris sudah berlepas 3 minit yang lalu. Hanya kerana lewat 3 minit! Habis semua perkataan yang tidak elok dikeluarkannya. Bila manusia marah, syaitan mula memasuk jarum. Akhirnya kecundang juga insan yang bergelar manusia itu.


Selang beberapa jam kemudian. Hanif pulang dengan perasaan marah dan kecewa. Hanya kerana 3 minit kejayaannya hilang. Namun tak lama selepas itu, mata Hanif membulat mendengar berita yang mengatakan kapal terbang yang menuju ke Paris beberapa jam yang lalu telah terhempas. Kapal terbang itu yang sepatutnya dia naiki! Jika dia berjaya menaiki kapal terbang tersebut, mungkin dia juga sudah maut bersama penumpang yang lain. Hanif sedar kesilapannya dan mula beristighfar panjang serta mengucapkan kalimah Alhamdulillah berulang kali.




Subhanallah! Hebat perancangan Allah dan semua itu sudah ditentukan olehNya. Semua benda yang terjadi sama ada baik atau buruk, ada hikmah disebaliknya. Mengapa manusia masih tidak sedar walaupun banyak perkara yang berlaku disekeliling mereka?


Allah juga berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui sedangkah kamu tidak mengetahui.


Ingatlah! Setiap musibah yang datang tidak datang begitu sahaja. Pasti ada terselit hikmah di celah-celah musibah itu. Sama ada kita sedar atau tidak, itu sahaja. Setiap kali ditimpa musibah, jangan biarkan nafsu dan syaitan mengawal minda dan hati sebaliknya biar akal dan iman yang mengawalnya. Sabar! Itu paling penting dan ingatlah banyak ganjaran yang diperoleh bagi mereka yang bersabar. 


Wallahualam.


Wednesday, September 14, 2011

Wanita dan Sifat Malu | Malumu Berharga



Assalamualaikum. Kita selalu dengar yang lelaki dianggap sebagai 'kumbang' dan perempuan pula semestinya 'bunga'! Perkataan puitis gitu. Oh ya! Kalau kumbang suka kepada bunga, sudah tentu lelaki suka kepada wanita. Bila umur meningkat remaja, keinginan lelaki pada wanita mula berputik lalu si wanita mula menjadi sasaran usikan lelaki. Dekat sekolah (banyak terjadi), dekat tempat tunggu bas dan banyak lagi asalkan ada ruang dan peluang.


Selagi usikan dan teguran itu tidak dihiraukan wanita, selagi itu lah lelaki tersebut tidak akan putus asa. Terus mencuba, dan mencuba supaya wanita tertarik padanya. Rasulullah SAW bersabda, "Terdapat 99 tarikan wanita berbanding lelaki, lalu Allah kurniakan ke atas mereka sifat malu." (Riwayat Baihaqi)


Semua tindakan atau perbuatan seorang wanita mesti akan menjadi perhatian lelaki. Itulah hakikatnya. Contohnya seperti di bawah ini:

a. Jika berbuat baik akan dikagumi.
b. Apabila membuat jahat, diminati.
c. Apabila memakai pakaian menutup aurat, di lihat menawan.
d. Apabila memakai pakaian yang kurang sopan (seksi), di lihat menggoda.


Oleh sebab itu, Allah telah mengurniakan sifat malu kepada insan bergelar wanita. Dengan sifat malu ini lah mereka akan berfikir panjang apabila ingin melakukan sesuatu tindakan atau keputusan. Contohnya, kalau ingin mendedahkan aurat, dia takut orang akan mengganggunya, kalau berjalan seorang diri, dia takut ada orang akan mengusiknya.


Begitulah peranan malu yang boleh membantu dalam tindak-tanduk seorang wanita. Tetapi macam mana pula kalau wanita yang tidak tahu malu? Dah tentu mereka tidak akan memikirkan semua tuh. Kata mereka, "Tak payah nak pening-pening fikir. Redah jer! Pedulikan apa orang kata, pedulikan kalau ada orang tengok, dan aku tak kisah kalau ada orang yang mengusik dan mengganggu malah aku seronok dan bahagia dengan apa yang berlaku!"


Rasulullah SAW bersabda, "Jika engkau tidak malu, buatlah sesuka hatimu." (Riwayat Bukhari) Jika korang baca dan fahamkan, hadis ini merupakan sindiran dalam tegahan. Kesimpulannya, sifat malu itu adalah pokok akhlak yang mulia dan budi pekerti yang terpuji. Jadi hiasilah malu dalam dirimu =)


Malu dan iman itu adalah teman seiring jalan, 
jika yang satu diangkat nescaya terangkatlah pula satu lagi. 
(Riwayat Muslim)