Saturday, May 19, 2012

Cerpen: Dia Sempurna Dalam Ketidaksempurnaan, Dialah Isteriku.



Hari pernikahanku. Hari yang amat bersejarah dalam hidup aku. Seharusnya saat ini aku menjadi manusia yang paling bahagia di dunia namun entah mengapa perasaan haru biru pula yang aku rasakan. Arghh memanglah aku berperasaan begini. Pada hari bersejarah ini, tiada satu pun sanak saudara yang menemani aku  ke tempat pengantin perempuan. Lebih-lebih lagi ibu. Beliaulah insan yang paling menentang pernikahan aku ini. 

Telinga aku masih terngiang-ngiang akan lontaran kata-kata ibu kepadaku,

"Rupanya jadi juga kau nikah dengan 'perempuan gagak hitam" tuh ya?!"

Arghh. Hati aku sudah tidak senang melihat gaya percakapan ibu. Calon isteri aku dipanggil dengan panggilan yang tidak elok. Namun aku masih berdiam diri. Kesabaran aku masih tersisa.

"Kau ni agaknya dah kena sihir kot dek perempuan tu. Takkan lah kau suka dengan perempuan kulitnya hitam, gemuk dengan wajahnya yang sama sekali tak menarik. Cacat pula tuh!" Sambung ibu lagi.

"Sudah, bu! Sudah! Tak payahlah ibu menghina bakal isteri saya sekasar itu. Dia juga makhluk ciptaan Allah juga ibu. Ibu bercakap begini seolah-olah ibu menghina ciptaanNya. Sedarlah ibu. Istighfar!" Kali ini aku terpaksa membalas kata-kata ibu dengan sedikit emosi. Tapi ternyata ibu tersinggung dengan kata-kataku itu.

"Oh rupanya kau lebih memilih perempuan tu daripada keluarga kau sendiri! Baiklah Harraz, Aku izinkan kau berkahwin dengan dia tapi jangan harap sesiapa daripada ahli keluarga kita akan datang masa majlis kau nanti. Dan jangan kau bawa perempuan tu ke rumah ibu. Ibu tak benarkan!"

Ibu terus masuk ke dalam bilik dan menghempas pintu, kuat.

**********

"Harraz. Janganlah kau susah hati macam ni. Kejap lagi tok kadi sampai." Teguran Arif, sahabatku menyedarkan aku dari lamunan. Segera aku beristighfar dalam hati.

"Alhamdulillah. Tok kadi dah sampai pun. Bersiaplah, Harraz." Sekali lagi Arif memberi semangat kepada aku. Bahuku ditepuk-tepuk kuat.

"Aku terima nikahnya Khairun Solehah binti Mahmud Hassan dengan mas kahwinnya 80 ringgit tunai."

'Alhamdulillah. Ya Allah, hari ini telah Engkau izinkan aku untuk meraih setengah dien. Mudahkanlah aku untuk meraih sebahagian yang lain.'

**********

Di bilik yang amat sederhana. Di atas lantai marmar kakiku terpaku lama. Memandang isteriku yang masih menundukkan mukanya dan diam sejak tadi. Setelah sekian lama kami mendiamkan diri, akhirnya dengan lafaz bismillah aku mula menyapanya.

"Assalamualaikum. Tentang permintaan untuk hafalan Quran tu bila kita nak mulakan ya?" Tanyaku sambil memandang wajahnya yang sejak tadi disembunyikan dalam tunduknya. Sebelum kami bernikah, isteriku memang pernah meminta agar aku membacakan hafalan Quran tiap malam satu juz bermula daripada malam pertama hinggalah malam kesepuluh. Dan permintaan itu telah aku persetujui.

"Waktu qiamullail nantilah." Jawab isteriku, masih dalam tunduknya. Wajah yang masih memakai tudung putih itu, dia sembunyikan dalam-dalam. Saat kuangkat dagunya, dia seperti ingin menolak. Namun ketika aku memberi isyarat bahawa aku suaminya dan berhak untuk melakukan itu, dia menyerah.

Kini mata aku terpaku lama di wajahnya. Benar kata ibu bahawa wajah isteriku 'tidak menarik.' Fikiran tersebut bagaikan hujan lebat yang menimpa kepalaku namun segera aku mengusirnya. Matanya yang berkaca-kaca menatap bola mataku.

"Abang, saya dah katakan pada abang sejak awal taaruf lagi bahawa fizikal saya seperti ini. Kalau abang kecewa, saya bersedia menerimanya dan saya ikhlas. Namun jika abang tak menyesal mengambil saya sebagai isteri, mudah-mudahan Allah memberikan keberkatan yang banyak untuk kehidupan abang kelak. Seperti keberkatan yang Allah limpahkan kepada bapa Imam Malik yang ikhlas menerima sesuatu yang tidak dia sukai pada isterinya. Saya ingin mengingatkan abang akan firman Allah yang dibacakan oleh ibu Imam Malik pada suaminya pada malam pertama pernikahan mereka, "Dan bergaullah dengan mereka (isterimu) dengan penuh (ihsan). Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana kamu mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjanjikan padanya kebaikan yang banyak." (QS An-Nisa': 19)

Mendengar tutur kata isteriku, kupandang wajahnya yang penuh dengan airmata itu dalam-dalam. Aku teringat kisah suami yang rela menikahi seorang wanita yang mempunyai kecacatan. Dari rahim wanita itulah lahirnya Imam Malik, ulama besar umat Islam yang namanya abadi dalam sejarah.

'Ya Rabbi, aku menikahinya keranaMu. Maka turunkanlah rasa cinta dan kasih sayang milikMu pada hatiku untuknya. Agar aku dapat mencintai dan menyayanginya dengan segenap hati yang tulus ikhlas.'

Perlahan-lahan aku menghampiri isteriku. Lalu dengan tangan yang bergetar sebak, ku rangkul tubuhnya dalam dakapanku. Sementara, isteriku menangis terhenjut-henjut dengan wajah yang masih tersimpan sisa-sisa ragu.

"Jangan paksa diri abang untuk ikhlas menerima saya. Sungguh, saya terima apa-apa saja keputusan yang keluar daripada mulut abang walaupun keputusan yang akan mengecewakan saya nanti." Ucapnya lagi.

"Syuh... Tak, abang takkan buat macam tu. Sungguh sejak awal niat abang berkahwin dengan awak kerana Allah. Abang pasti dan yakin dengan niat itu. Hingga abang tidak menghiraukan lagi keluarga abang yang pulaukan abang dan tidak mahu datang majlis perkahwinan kita pagi tadi." Pujukku sambil tangannya aku genggam erat.

**********

Malam yang sangat kelam telah menunjukkan muka. Pada malam yang sunyi itu aku bermunajat dan berdoa padaNya.

"Ya Allah, tak dapat aku menidakkan bahawa kecantikan wanita itu dapat mendatangkan perasaan cinta buat insan bergelar lelaki. Namun telah kutepis syarat untuk memilih isteri kerana rupa yang cantik kerana aku ingin mendapatkan cintaMu, Ya Allah. Ya Rabbi, saksikanlah malam ini akan kubuktikan bahawa cinta sejatiku hanya akan kupersembahkan kepadaMu. Kerana itu Ya Allah, pertemukanlah aku denganMu dalam jannahMu. Tempat yang sangat didambakan oleh orang-orang mukmin. Amin.."

Langkah ku atur perlahan menuju pembaringan yang agak sederhana itu. Lalu, ku tatap raut wajah isteriku dengan seluruh hati yang ikhlas. Ah, sekarang aku benar-benar mencintainya. Kenapa tidak? Bukankah dia wanita solehah sejati. Dia sentiasa menegakkan malam-malamnya dengan bermunajat panjang pada Rabbnya. Dia sentiasa menjaga hafalan ayat-ayat Al-Quran dengan baik. Dan dia sentiasa mengamalkan sunnah Rasulnya. Sungguh dia sempurna dalam ketidaksempurnaan. Dan dialah bidadari syurgaku di dunia dan akhirat.

~~Selesai~~


P/S: Alhamdulillah. Selesai juga menulis cerpen ini. Cerpen yang ke-4 tak silap. (T_T) Sungguh aku sentiasa ingin menulis cerpen yang bermanfaat dan banyak pengajaran yang boleh diambil oleh pembaca semua. Oleh sebab itu, aku harap cerpen ini juga ada pengajaran disebaliknya ok. Hanya cerpen ringkas. So, enjoy reading! :D

P/S 2: Aku percaya kecantikan itu bersifat subjektif. Cantik tidak semestinya dinilai dengan kecantikan paras rupa, namun kecantikan juga boleh diukur dengan akhlak yang baik, ilmu yang berguna, serta cara kita membawa diri. (:

P/S 3: Terimalah pasangan hidup kita seadanya. (^_^)


Wassalam,
Ilaliqa'.

Tuesday, May 8, 2012

Cerpen: Cinta Dalam Hati



Melalui hati..
Hanya dengan hati..

Tak banyak yang dapat dilakukan oleh Zinnirah kala perasaan itu datang menghampirinya. Dia hanya boleh diam dan menyimpan perasaannya itu sendiri, di dalam hatinya. Tiada seorang pun yang tahu kecuali dirinya sendiri. Nama seorang ikhwan telah bertakhta di dalam relung hatinya tapi sungguh tak pernah dia sengaja meletakkan nama itu di hatinya. Perasaan itu pun tak pernah dia pupuk sehingga boleh berkembang dengan indah. Melalui hati, ya, hanya dengan hati dia merasakan perasaan itu. Tidak dengan kata-kata, ucapan, atau pun tingkah laku yang membuatkannya jadi tak berdaya atas rasanya itu.

Dialah seorang muslimah yang sangat pintar menanggani perasaannya sendiri. Tak pernah dia biarkan syaitan-syaitan menjerumuskannya ke lembah kehinaan yang pada akhirnya membuatkan darjah keimanannya menurun mendadak. Jika rasa sendiri sedang melanda dirinya, bukan “nama” itu yang dia fikirkan, melainkan Allah lah yang dia ingat melalui lantunan zikir yang dia lafazkan atau dengan membaca ayat-ayat cinta-Nya yang membuat dia semakin cinta pada Tuhannya. Tak pernah dia menangisi perasaannya terhadap ikhwan itu, walaupun kadangkala dirinya terbabas juga tetapi dengan segera dia membuangnya. Seboleh mungkin dia memusatkan fikiran dan seluruh jiwa raganya hanya untuk Rabbnya. Dan bukan selain-Nya. Fikirnya, kalau jodoh tak akan kemana. 

Di celah bumi Allah yang lain, seorang ikhwan bernama Iman sedang membaca nukilan puisi yang ditulis di  atas secarik kertas, yang di bahagian bawahnya tertulis nama seorang akhwat, yang menunjukkan bahawa si akhwat lah yang menulis puisi tersebut. Kertas itu dia dapat dari bawah bangunan universiti. Tanpa sengaja dia melihat kertas itu terjatuh dari tingkat atas bangunan universiti dan dia ambil. Setelah dilihat siapa penulisnya, ternyata yang mencoret puisi itu adalah seorang akhwat yang namanya sudah lama bertahta di dalam relung hatinya. Namun dia tak menyimpan kertas itu, sebaliknya dia letakkan kembali surat itu di tepi bangunan, lalu dia pun berlalu tanpa mahu memanjangkan lagi ingatannya terhadap diri akhwat itu. 

**********

Di saat Zinnirah sedang menyiapkan kertas kerja untuk program di masjid universitinya, Umminya menghampiri dirinya dan duduk di kerusi tua yang terletak elok di sebelahnya

“Tengah buat apa tu, anak Ummi?” Tanya Ummi.

“Tengah siapkan kertas kerja untuk program di masjid universiti Ira. Kenapa Ummi?” Jawabnya dengan mengajukan pertanyaan balas kepada umminya, tanpa mengalihkan pandangannya dari skrin laptop.

“Takda apa lah. Ummi cuma rindukan kamu aje.” Jawab ummi yang langsung disambut dengan senyuman manis Zinnirah. Hanya sebuah senyuman yang membuat hati kecil seorang ummi semakin rindu. Entah mengapa akhir-akhir ini, rasa rindu terhadap anaknya ini begitu besar. Mungkin kerana beberapa hari ini, dari pagi sampai malam Zinnirah selalu berada di luar rumah, tepatnya di universiti bersama sahabat-sahabat di masjid universitinya untuk melakukan persiapan program seminar motivasi yang bakal diadakan tidak lama lagi. 

“Ira tak rindu ummi ke?”

Zinnirah mengalihkan pandangannya.

“Tiada apa yang Zinnirah rindukan setelah Allah, selain Rasulullah dan Ummi.” Setelah meninggalkan senyum manisnya lagi di hati ibunya, dia kembali memandang skrin laptopnya.

“Ira, apa…selama ini kamu tidak punya…kawan rapat?” Tanya ummi takut-takut.

“Kawan rapat yang bagaimana maksud ummi?” Tanya Zinnirah yang sudah boleh membaca kemana arah perbualan yang umminya utarakan.

“Ermm yelah. Kawan-kawan ummi, anak-anaknya hampir semua ada kawan rapat. Apa kamu tidak ingin seperti mereka?”

“Maksud ummi teman lelaki?” Tebak Alya pada umminya. Lagi-lagi tanpa mengalihkan pandangannya dari skrin laptop.

“Bukan ummi yang cakap. Ira yang kata teman lelaki.” Umminya berusaha mengelak meskipun memang itu maksudnya. Zinnirah hanya tersenyum kecil tanpa mengeluarkan sepatah katanya lagi. Dia hanya ingin diam.

“Kenapa diam, Ira?” Tanya ummi.

Kali ini Zinnirah memutar kerusinya kearah umminya. Dengan sebaris senyuman, dia pun mula berkata,

“Ummi, walaupun tanpa seorang teman lelaki disamping Ira, Ira dah rasa sangat bahagia dengan adanya ummi, ayah, dan semua keluarga kita disamping Ira. Dan Ira tak perlu seorang teman lelaki supaya dapat menemani Ira kemana-mana, kerana Allah kan ada. Dan kalaupun Ira ingin mencari seorang pendamping, bukan teman lelaki yang Ira cari, sebaliknya seorang suami. Suami yang boleh menuntun dan membimbing Ira ke arah yang lebih baik. Ummi tak perlu risau ataupun takut jika Ira tak seperti anak kawan-kawan ummi, kerana Ira yakin, apa yang Ira jalani saat ini adalah jalan kebaikan dengan cara yang baik dan untuk menuju sesuatu yang baik pula. Ummi faham kan?”

Ummi hanya menatap wajah anaknya dengan perasaan terharu. Betapa mulianya hatimu nak, hatinya berbisik. Lalu dia pun kembali bertanya,

“Jadi, ada sesiapa yang kamu minat sekarang ni, Ira?”

Jujur, Ira sangat terkejut atas pertanyaan ibunya itu kerana saat ini memang ada nama lain di hatinya yang akhir-akhir ini mengusik hatinya, namun segera dia tepis rasa terkejut itu dengan istighfar dalam hatinya.

“Kalau ada, kenapa ummi?” Jawab Zinnirah tanpa harus jujur meski tak jua berbohong.

“Hurmmm… Takda apa-apa lah Ira. Ummi hanya ingin memastikan kalau saat ini anak Ummi sudah dewasa. Sudah boleh memilih mana yang terbaik untuk dirinya. Ok lah, teruskan saja kerja kamu tuh. Ummi pergi dulu yer?”

Zinnirah hanya tersenyum. Lagi-lagi hanya senyuman yang menutup perbincangan dia dengan umminya. Dia tak berusaha untuk memunculkan wajah ikhwan itu meskipun dalam hatinya sangat ingin. Namun dia tahu bahawa itu dosa. Dia kembali beristighfar sambil terus melanjutkan pekerjaannya. Dan rasa itu, biar hatinya saja yang merasakan. Tak perlu diungkapkan apalagi disebarkan ke khalayak ramai. Tak perlu dengan kata-kata dalam memaknai rasa itu. Cukup melalui hati, hanya dengan hati. Dan diam adalah kunci dari semua masalah itu.

Puisi Nur Iman Zinnirah

Aku tak mengerti dengan rasa dalam hatiku
Aku hanya bisa merasakannya lewat hati
Hanya dengan hati
Tak perlu dengan kata-kata
Kerana kata hanya akan membuat luka
Aku akan terbang jauh
Bersama anganku yang melayang
Menerawang menembus angkasa
Lalu jatuh bersama derai air mata
Aku tak akan mahu mengingatmu
Demi rasa haru sembunyikan cinta
Demi rasa sedih kerana tak bisa berbagi cinta
Demi rasa sakit memendam rasa
Akan kupendam dalam-dalam cinta ini
Dan akhirnya, demi cinta itu sendiri


CS: Cerpen yang aku sendiri tidak tahu apa pengakhirannya kerana aku sendiri pun tak mampu nak nukilkan apakah yang akan berlaku selepas itu. Huhu~ Rasanya lebih baik begini kot? Lagipun, True love stories never have endings right? :)

Saturday, May 5, 2012

❤ Aku Terima Nikahnya ❤

[SUMBER]

5 Mei 2012 - Persandingan

Selamat pengantin baru,
Semoga kekal abadi bahagia,
Ke anak cucu sentosa,
Murah rezeki..

Riuh rendah di luar rumah. Lagu kahwin berkumandang dengan gilang gemilang. Sungguh meriah. Di hadapan rumah, dua mempelai sedang diraikan. Menatap senyuman di wajah raja sehari, oh nampak sangat mereka sedang berbahagia. Indah sungguh bila menatap wajah orang bahagia, rasa diri ini pun turut sama bahagia dan terbang di awangan. Hehe :D 

******

4 Mei 2012 - Akad Nikah (Imbas Kembali)

"Aku terima nikahnya ___________ dengan mas kahwin _________ tunai!"

"Sah!"

"Sah!"

Pengantin perempuan meraup muka lega begitu juga dengan pengantin lelaki. Ayat keramat itu sudah dilafazkan maka sah lah pasangan itu menjadi suami isteri. Bacaan doa dimulakan. Aku mengaminkan tapi pada masa yang sama, aku teringat sesuatu. Di sebalik lafaz aku terima nikahnya, sungguh banyak makna dan tanggungjawab yang tersirat dalamnya. 

Lafaz akad tu nampak aje senang nak cakap kan? Tapi inilah erti sebenarnya:

"Aku tanggung dosa-dosa si dia dari ibu bapanya, apa saja dosa yang dia buat, dari dedah aurat hingga ke tinggalnya solat, aku tanggung dan bukan lagi ibu bapanya tanggung sepenuhnya, dan aku tanggung semua dosa bakal anak-anakku. Kalau aku gagal maka aku fasik, dayus dan aku rela masuk ke neraka dan aku rela malaikat Zabaniyah melibas aku hingga pecah badan aku."

Sungguh besar makna daripada lafaz itu kan? Jadi, kepada para suami dan bakal menjadi suami, berpegang teguhlah dengan makna yang diperkatakan. Lafaz itu bukan sekadar lafaz semata-mata tetapi lafaz itu perlu dihayati. Renung-renungkanlah kaum Adam semua. :) Kamu semua insan terpilih untuk membimbing kaum Hawa yang bakal menjadi isterimu kelak. InsyaAllah. ^^

Akad nikah dilakukan pada waktu malam. Selesai akad nikah, tok kadi ada berbicara sedikit. Buat aku rasa terharu. Melebih betul aku ni. Err..

"Saya nak selepas akad nikah ini, pengantin perempuan salam tangan dan cium ibunya, bapanya, ibu mertuanya dan bapa mertuanya. Selepas itu barulah pengantin perempuan salam tangan suaminya. Semoga pernikahan ini diberkati olehNya dan diredhaiNya sepanjang hayat kedua-dua pasangan kerana apabila ibu bapa memberkati, maka Allah juga akan turut memberkati. Jika ibu bapa redha, maka Allah juga akan redha." 

Maka berlakulah adegan-adegan yang penuh emosi. Arghh biasa la tuh kan? :)

Dalam hati aku mempersetujui kata-kata tok kadi. Yer memang restu kedua-dua ibu bapa sangat penting. Tanpa restu mereka, mungkinkah perkahwinan yang dibina akan kekal bahagia hingga ke akhirnya? Mungkin ya dan mungkin tidak. Hurmmm~

Sekian saja laporan daripada saya!
Wassalam,
Ilaliqa'.

******

P/S: Selamat pengantin baru, Kak Lia dan suami. Moga berbahagia hingga ke syurga! :)

P/S 2: Ramai orang kahwin tahun ni. Moga berbahagia juga buat anda semua yang bergelar pengantin baru. Abang aku pun nak bertunang bulan 8 ni, InsyaAllah. Semoga Allah permudahkan dan semoga Allah redha.^^

P/S 3: Selamat hari jadi Nur Syazwani bt Zulkifli. Moga berbahagia selalu di samping keluarga tercinta dan berjaya di dunia dan akhirat. I Love You, beb! :D

P/S 4: Selamat hari jadi buat Adam sayang. Sudah setahun umur kamu ya. Cepat aje masa berlalu. Moga jadi anak yang soleh dan takmau nakal-nakal ek! Sayang Adam. <3

Tuesday, May 1, 2012

24 Oktober 2009

~Instrumental~

24 Oktober 2009, 7.00 PM.

"Faris!" Jerit suara lelaki itu. Namun sebentar dia terdiam. Seolah terpinga-pinga dengan jeritannya sendiri. Matanya kelihatan sayu memandang jalan yang hanya kosong panoramanya. 

Mata aku bertatapan dengan ayah aku. Kami saling berpandangan. Ayahku yang tadinya berada di sisiku berlalu, menghampiri si lelaki  lalu menepuk bahu lelaki itu. Mereka berbicara sendiri dan aku ternampak, lelaki itu mengesat matanya perlahan.

Dan aku? Sedih, sebak. Sungguh aku lebih rela tidak melihat situasi itu. Pada hari itu, aku kehilangan seorang sahabat baik yang sangat kamcing, sahabat yang gila-gila. Tapi lelaki itu? Dia kehilangan seorang anak. 

Sedih. Sangat Sedih.

*******

Imbas kembali.

Terdengar suara sumbang itu menyanyi. Menanti Di Barzakh. Haishh kerap kali lagu itu dinyanyikannya. Aku suka lagu tu tapi bila dengar dia nyanyi, aku rasa lain macam. Masa bila dia minat lagu nasyid?

"Hisy kau ni takda lagu lain ke? Lagu nasyid pula tuh, pasal mati lagi. Ada sesiapa nak mati ke?" Tanya aku. Macam lancangkan bunyinyer? Tapi itu dulu. waktu zaman UPSR. Kan kami gila-gila bersama. Rindu..

"Suka hati aku lah. Sekurang-kurangnya aku dah insaf, dengar lagu nasyid. Mana la tahu esok-esok aku mati. Nak ambil feel ni. Kau tak payah sibuk!" Balas dia.

"Alah kau muda lagi lah. Kan kita dah janji, nak ambil UPSR sama-sama. Kau mana boleh mati lagi." Balas aku. Arghh sungguh aku belum matang!

"Apa-apa aje lah! Tapi kan weyh kalau aku mati, kau jangan lupa jenguk kubur aku tau. Selalulah-selalulah jenguk kubur aku. Kalau tak, aku menjelma jadi hantu kacau kau malam-malam. Hahaha." Balas dia sambil tergelak-gelak.

"Kalau kau mati pun, aku buat benda yang sama juga." Sambung dia lagi.

~The rest is history~

*******

"Apa-apa aje lah! Tapi kan weyh kalau aku mati, kau jangan lupa jenguk kubur aku tau. Selalulah-selalulah jenguk kubur aku. Kalau tak, aku menjelma jadi hantu kacau kau malam-malam. Hahaha."

Hampir setiap hari aku lalu di hadapan kawasan tanah perkuburan itu tapi maafkan aku Faris. Aku masih belum berpeluang untuk melawat kau. Aku rasa bersalah sangat sebab tak lawat kau. Lama dah kan? Dan semalam kau datang dalam mimpi aku. Dah dua kali kau datang. Pada tahun 2010 dan kini pada tahun 2012 pula. Tapi kau tetap sama. Hanya tersenyum tanpa berucap apa-apa. Lama-lama bayanganmu makin hilang dan hilang. Faris, malam tadi terus aku tak boleh tidur sampailah sekarang! Huhu.

Sementara itu, aku hanya berbaring dan mendengar radio. Tiba-tiba Suria FM putarkan lagu Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu. Dan kenangan lalu kembali berputar seiring dengan lagu itu. Sungguh aku rindu. 

Moga kau tenang dan bahagia di sana.
Al-Fatihah.