Thursday, June 30, 2011

Ketenangan


Ketenangan.
Aku masih tercari-cari dimanakah kelibatnya?
Terus berjalan dan berjalan mencari ketenangan.
Namun jalannya penuh dengan duri cabaran dan dugaan.
Aku terpaksa tempuhinya untuk menemui ketenangan.

Ketenangan.
Kini aku sudah menemuinya.
Segalanya-galanya berubah bila ia hadir.
Kesepian kini menjadi kegembiraan.
Kehidupan yang kabur kini jelas pandangannya.

Ketenangan.
Ia bukan datang dengan kemewahan.
Bukan juga datang daripada kekayaan.
Kedua-duanya bukan resepi ketenangan.

Ketenangan.
Dicapai dengan memantapkan ilmu dalam diri.
Menguatkan keimanan terhadap Ilahi.
Disitulah terdapatnya ketenangan yang aku cari.


Sesungguhnya dengan mengingati Allah, 
hati akan menjadi tenang. 
(Surah Ar-Rad ayat 28)

Monday, June 20, 2011

Jangan Sia-siakan Nafas Yang Kita Hirup Tanpa Berbuat Apa-apa!

Assalamualaikum. Saya ingin awak (orang yang baca post ini) supaya merenungkan sesuatu dan fahamkannya. Katakanlah awak telah mendapat apa yang awak sangat idam-idamkan selama ini. Kemudian tiba-tiba nikmat itu hilang tanpa kesan. Sudah pasti awak semua menangis + menyesal + gigit jari. Yelah! Apa yang awak dambakan hilang macam itu saja. Baiklah, apa kata, jika apa yang awak hilang itu ialah umur tanpa manfaat, sedangkan awak sendiri tidak menyedarinya.

Sesungguhnya umur itu adalah permata yang tidak mungkin dinilai dengan apa benda sekalipun. Yer! Umur terdiri daripada nafas. Dan setiap nafas yang awak hembuskan keluar tidak mungkin kembali lagi. Dan sedarlah tentang suatu hakikat bahawa dengan nafas itulah awak dapat menukarkan dengan apa sahaja yang dihajati dari kenikmatan syurga.

Lalu, janganlah sia-siakan umur kalian tanpa bertaubat!
 
Rasulullah SAW bersabda kepada kekasihnya yang digelarnya Aisyah Humaira ra yang bermaksud:

"Apabila kamu berasa berdosa, beristighfarlah kepada Allah dan bertaubatlah kepadaNya. Sesungguhnya apabila seseorang hamba itu mengakui dosanya dan bertaubat, pasti Allah menerima taubatnya."
 

 
"Sesungguhnya aku sedang menasihati kamu, bukanlah bererti akulah yang terbaik dalam kalangan kamu. Bukan juga yang paling soleh dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah. Maka akan jadi sikitlah orang yang memberi peringatan." ( Imam Hasan al-Basri)
 

Sunday, June 19, 2011

Cinta Indah | Bermuhasabah Diri Seketika


Rasa cinta padaNya,
Sentiasa mekar di kamar hati.

Rasa cinta padaNya,
Sentiasa mewangi di taman abadi.

Rasa cinta padaNya,
Sentiasa berlagu tidak berhenti.

Rasa cinta padaNya,
Sentiasa menghiasi kehidupan insani.

Rasa cinta padaNya,
Membawa ke syurga firdausi.

Dan..

Tanpa cintaMu Ya Rabbi,
Kehidupan aku tidak bererti.

Tanpa cintaMu Ya Rabbi,
Aku akan hilang pedoman diri.

Tanpa cintaMu Ya Rabbi,
Tiada lagi ketenangan dalam hati ini.


Saudaraku, renungkanlah ini dan bermuhasabahlah. Allah SWT pencipta kita dan seluruh alam. Rahmat dan kurniaan Allah SWT tak dapat kita kira pun. Kenapa manusia masih ingkar padaNya? Apabila kita senang, kita lupa padaNya.  Selepas menitiskan airmata, kita akan kembali bergelak tawa semula, lagha dengan nikmat dunia yang hanya sementara. Kenapa? Sesungguhnya hanya sedikit manusia berfikir.


-------------------------------------------------------------
Cinta Allah sangat aku dambakan.
Akan aku raih cintaMu Ya Allah.
Walaupun jalannya penuh dengan duri yang tajam.
Pasti akan aku jalaninya!
InsyaAllah.
Doaku kamu juga turut begitu =)
------------------------------------------------------------

Saturday, June 18, 2011

Sabar itu ada bataskah?


Assalamualaikum. Sabar itu ada batasnya! Ayat tersebut sangat sinonim dengan masyarakat kita kan? Nak tahu, dengan pemahaman seperti diatas yang ditanam dalam hati akan menyebabkan hati kita menjadi rapuh dan tidak kuat menerima segala ujian dan musibah daripada Allah dan akhirnya jiwa kita yang akan merana. Banyak orang mencipta alasan untuk lepas tangan bahawa 'sabar itu ada batasnya.'

Sesungguhnya sabar itu perintah daripada Allah SWT dengan demikian tidak akan ada batasnya. Ini sama sahaja dengan solat tapi solat dilakukan pada waktu-waktu tertentu sedangkan sabar dilakukan pada saat awal kita ditimpa musibah. Sedangkan musibah itu selama kita hidup dan tidak akan pernah berhenti sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah Al-Kahfi ayat 7 yang bermaksud "Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya."

Dalam surah Al-Ankabut ayat 2 Allah SWT berfirman yang bermaksud "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan, "kami telah beriman," sedang mereka tidak diuji lagi."

Saya sering diperdengarkan dengan kata-kata ini setiap kali ditimpa musibah. "Sesungguhnya jika Allah SWT mencintai seseorang hamba maka Dia tenggelamkan hamba itu dalam cubaan. Barangsiapa yang tidak pernah mengalami musibah maka ia jauh daripada kasih sayangNya." Bukankah dengan musibah yang kita terima itu bererti Allah SWT memberikan peluang kepada kita untuk memperoleh pahala yang sangat diperlukan dalam 'kehidupan abadi' nanti?

Ingatlah bahawa sabar tidak hanya dilakukan ketika menerima musibah sahaja namun harus juga dilakukan semasa kita diberikan kesenangan. Kerana ujian Allah SWT itu bukan hanya pada waktu kesusahan tapi terdapat juga pada waktu kesenangan. Tidak hairan jika saya berkata sebegini kerana ramai manusia yang lalai menjalankan sifat sabar apabila kesenangan sedang di nikmati di depan mata.

Mari kita renungkan firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 153 yang bermaksud "Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang sabar."


Adakah sabar itu ada batasnya? Tepuk dada tanya iman.


 
"Tiada namanya lautan jika ia tidak bergelora, tiada namanya bumi jika tidak ditimpa hujan dan tidak namanya kehidupan jika tiada masalah. Sebagaimana warna menyempurnakan lukisan, masalah pula adalah penyempurnaan kehidupan. Bersyukurlah, sekurang-kurangnya kamu masih hidup dan Tuhan masih mengambil berat dengan kamu, kerana itu dianugerahkan olehNya masalah. Buat kamu menajamkan lagi akalmu.Tenang dan rapatkan kedua tangan menadah doa mohon petunjuk kepada Allah swt. Kerana sesungguhnya Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."
 
 

Friday, June 17, 2011

Blog Menjadi Bahan Bukti Diakhirat | Ke Mana Arah Tujunya?


Assalamualaikum.
Buat rakan-rakan taulan.
Mari kita renung-renungkan.
Selama kita berblogging sakan.
Adakah dosa atau pahala kita kumpulkan?

Dalam surah yassin ayat 65 Allah SWT berfirman "Pada hari ini Kami tutup mulut mereka, dan berkatalah kepada kami tangan mereka dan memberi kesaksian pula kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka usahakan."

Jika mulut, tangan dan kaki akan menjadi saksi diakhirat kelak, maka blog pula adalah salah satu bahan bukti kepada tangan serta jari jemari. 

Apa yang kalian tulis? Apa yang kalian gambarkan? Suatu hari nanti pasti akan dihitungkan. Blog memang tak bernyawa dan mempunyai suara tapi blog punya jiwa. Jiwa yang terhasil daripada penulis blog itu sendiri agar dapat diserap ke dalam minda pembaca yang membaca blognya. 

Kita semua sedar apalah gunanya ada blog tapi tidak punya pembaca. Disana ada tanggungjawab yang tergalas di bahu insan yang bergelar Blogger. Ke mana agaknya kalian ingin membawa mereka yakni pembaca? Sama-sama menghirup haruman syurga atau merasai kepanasan lembah neraka? Ke mana hala tujunya sahabat?

Ingatlah rakan-rakan bloggers! Usah berblog jika mahu mengeji dan mengumpat sana sini. Kerana dosa yang akan kalian tanggung kelak berguni-guni. Usah berblog jika kalian ingin menabur fitnah dan bergosip kesana-kemari. Natijahnya, kalian akan miskin pahala suatu hari nanti. Usah berblog jika kalian ingin dipuji dan dikenali. Sudahkah kalian lupa bahawa disitu ada syaitan yang sedang bersembunyi?

Oleh sebab itu, marilah kita bermuhasabah bersama-sama, kalian dan aku juga. Bloggers Muslim perlu mempunyai jiwa hamba supaya dapat menuntun dirinya dan juga pembaca. Kerana kalianlah sang murabbi di alam siber. Alang-alang berblogging, biarlah sampai membuka jalan ke pintu syurga. InsyaAllah sama-samalah kita melakukannya.

Kepada rakan-rakan.
Semoga post ini memberi kesedaran.
Jangan kecik hati atau terkesan.
Aku sekadar menjalankan tugasan.
Kerana hidup di bumi Allah punya dua tujuan.
Sebagai khalifah dan hamba Tuhan.


BERINGAT-INGATLAH SESAMA KITA
 

Tuesday, June 7, 2011

Manusia - Redha dan Rahmat Allah | Dalam genggamankah?


Manusia,
Sering alpa dengan nikmat dunia.
Hidup dipenuhi gelombang dosa.
Syaitan dan nafsu menjadi raja.
Wanita/lelaki kini hiburan semata.

Manusia,
Kini lupa segala-galanya.
Hidup bertentangan dengan syariat agama.
Perintah Allah SWT langsung tidak diendahkannya.
Hidup semata-mata kerana dunia.
Akhirat yang abadi dilupakan begitu sahaja.

Bagaimana redha dan rahmat Allah ingin mendatangi.
Jika kehidupan manusia tetap begini?

Mengapa manusia masih tidak mengerti.
Redha dan rahmat Allah itu perlu dicari.
Bukan duduk dan menanti.

Bagaimanakah cara hidup manusia yang terdiri daripada kita sendiri? Sudah cukupkah untuk mendapat redha dan rahmat Allah ataupun masih lagi terkapai-kapai mendapatkannya? Adakah gaya hidup kita selama ini yang bergelar hamba Allah dimuka bumi ini sudah cukup untuk mendapat rahmat dan keredhaan Allah? Tanya diri sendiri dan dapatkan jawapannya. Ingat! Redha dan rahmat Allah perlu dicari bukan untuk dinanti. (^_~) 

Aku undur diri dulu kerana tak punya banyak masa. Syukran untuk sesiapa yang lawat blog dan komen. Aku akan balas semua yang lawat atau komen entry blog nih lagi 2 minggu yang akan datang, InsyaAllah! Assalamualaikum :) Jaga diri, jaga iman dan semoga ceria-ceria selalu!