Tuesday, December 25, 2012

Cerita Kucing Jalanan


Makan di kedai makan. Nampak seekor kucing, berwarna oren, bunting. Kelaparan. Melangut (dongak) di satu meja yang dipenuhi dengan manusia-manusia yang juga kelaparan. "Meow, meow" Beribu kali dia mengiau, tapi manusia di situ buat tak endah. Sedih, kesian, geram, marah. Semuanya bercambur baur. Tiba-tiba menu yang di pesan sampai. Ikan siakap tiga rasa, telur dadar, tomyam campur dan nasi putih. Simple saja. Rasa kesian menggunung di hati. Aku panggil kucing yang bakal menjadi mak itu lalu aku berikan dia kepala ikan siakap yang aku pesan tadi. Dia datang dan makan dengan rakus. Kesian, mesti sangat lapar lebih-lebih lagi dia tengah bunting. Licin dia makan! Tiada satu sisa pun tinggal. :'(

Apa salahnya kita berkongsi nikmat makanan yang Allah berikan kepada kita kepada makhluk Allah yang lain. Dia tak minta banyak, cukuplah sekadar perutnya diisi dengan sedikit makanan. Kenapa kita kedekut sangat? Siapa yang kurniakan rezeki? Allah kan. Jadi kenapa kita kedekut? Pernah dengar tak ayat, "orang yang memberi walaupun nilainya sedikit, Allah akan lipat gandakan apa yang dia beri itu dengan nilai yang lebih banyak." 

Malas nak cakap banyak-banyak. Allah kurniakan akal dan fikiran untuk berfikir. Jadi fikir-fikirkan lah yer. Akhir sekali, Semoga kita semua menjadi manusia yang pemurah dan berperikemanusiaan. Amin! Assalamualaikum semua dan selamat malam (^_^)

Renung-renungkanlah :)


1001 Cerita Yang Tersimpan



Assalamualaikum. Lama betul diri ini menghilang. Dalam kepala nak cerita semua benda tapi masa tidak mengizinkan. Terlalu sibuk dengan hal dunia yang kadang-kadang memeningkan kepala aku juga namun tanggungjawab tetap harus dilaksanakan dengan baik. Biar Allah sayang, manusia pun sayang. Betul tak?

Firstly, abang aku yang pertama, Abdul Malik dan pasangannya Noorul Aisyah telah selamat menjadi suami isteri pada 25.11.2012. (Ahad) Tahniah kepada aku kerana telah mendapat seorang kakak ipar. Hehe~ Alhamdulillah aturcara majlis berjalan dengan lancar walaupun cuaca panas terik. Abang aku dengan bangganya melafaz akad sebanyak satu kali sahaja. Dan! Anda semua dijemput untuk hadir ke majlis perkahwinan (kenduri kahwin) belah lelaki yang bakal diadakan pada 30.12.2012. (Ahad) Sesiapa yang nak hadir silalah PM aku ok :D Untuk pasangan, semoga berbahagia hingga ke syurga. Saling melengkapilah antara satu sama lain. Semoga baitul muslim kalian akan sentiasa diredhai, diberkati dan dirahmati olehNya. InsyaAllah, Amin Amin Ya Rabbal Alamin! ;)

Pasangan pengantin baru ;)
Secondly, kalau dulunya aku dan keluarga aku menetap di Kuala Lumpur namun kini kami telah menetap di Bagan Tambang, Teluk Air Tawar, Pulau Pinang. Sedih juga kerana harus meninggalkan tempat jatuh dan bangun, lebih-lebih lagi mak aku dah tak dapat mengasuh Adam dan Marissa. Lagi lah sedih! Tapi apa nak buat, itulah takdir hidup aku. Aku terima aje kerana pasti ada hikmah di sebalik penghijrahan aku di sini. Semoga Adam dan Marissa tidak melupakan aku. Sentiasalah ingat kenangan kita bersama yer sayang-sayangku. T_T 

Thirdly, walaupun sedih tapi aku gembira juga sebenarnya. Rumah baru aku ni dekat sangat dengan laut. Hari-hari boleh pergi sebab laut tu belakang rumah aku aje. Syok weyh! :D Meh layan gambar ni :) Mula-mula jakun la juga kan, sebab rumah sekarang dekat dengan laut. Yelah orang tinggal KL, nak pergi laut pun susah. (^_~) BTW, cantik kan permandangan dekat sini? :)






Lastly, apa yang membuatkan lagi best tinggal di kampung ini ialah sangat dekat dengan saudara mara. Mak Ngah dan Pak Ngah tinggal sebelah rumah aku. Mak Long dan Pak Long tinggal sebelah rumah Mak Ngah dan Pak Ngah. Wah meriah sungguh lah! ;) Dan yang paling penting lagi, ada budak comel yang bernama Noor Balqis Safiya. Cucu Mak Ngah dan Pak Ngah dan anak kepada Kak Ina dan Abang Helmie. Dia pun tinggal kat sini juga. "Acu! Acu!" Itulah panggilan yang dia berikan kepada aku. Comel kan? Takdalah nampak tua sangat. Bergaya lagi ada! :p

Noor Balqis Safiya a.k.a Qiqis


Itu sahaja cerita untuk hari ini. Semoga terhibur. Kalau nak diikutkan banyak lagi cerita yang nak diceritakan. Yelah! 4 bulan lebih tak update entri baru. Tapi kita cerita lain kalilah. Melayan blog, satu kerja tak jadi. Assalamualaikum semua dan selamat pagi! :)

Sunday, July 22, 2012

Bulan Yang Sama



Aku berdiri tegak di hadapan jendela.
Angin lembut bak kain sutera menyapa muka.
Ku pejam mata merasai cinta.
Nafas ku hembus perlahan menikmati anugerahNya.
Lantas sepasang mata kembali dibuka.
Mengerling ke atas melihat bulan di langit sana.
Bulan di langit sentiasa kekal pada paksinya.
Walau dua insan mengelilingi dunia.
Keadaannya tetap sama, tiada berbeza.
Rupanya, bentuknya dapat dilihat bersama.
Masih di sana dan tetap akan di sana.
Ah tiba-tiba hatiku berbicara.

"Adakah kita melihat bulan yang sama?"

My mom said to me just now after she saw my writing above, 
"Find someone who will bring you straight to syurga, bukan neraka"

#senyumsahaja


Wassalam,
Ilaliqa'.

Saturday, July 21, 2012

Ramadhan Datang Lagi (2012)


Satu Ramadhan datang lagi - Semua umat Islam menyambutnya seperti biasa. Aku suka menjenguk masa lalu aku di alam kanak-kanak sewaktu berpuasa. Dengan beraneka juadah yang dihidangkan oleh mak, di atas meja yang muat-muat untuk kami tujuh orang semuanya, aku makan dengan agak banyak. Sebenarnya, minum air aje banyak sampai kenyang. Dua botol air ais kosong HARUS ada di atas meja. Semuanya stok untuk aku aje. Sampaikan mak aku pernah cakap, "Shiqah ni tak payah makan pun takpa. Bagi aje dia  minum air ais kosong banyak-banyak. Kenyanglah dia nanti. Jimat pun jimat." Eh okey apa macam tuh? Jimat sikit kan ekonomi keluarga. Hee~ :D

Walau apa pun, kalimah Alhamdulillah tidak lekang meniti di bibir. Yelah, diri ini masih diberi kesempatan untuk merasai keberkatan penghulu segala bulan iaitu Ramadhan. Syukur pada Allah kerana masih lagi mengurniakan nikmat hidup dan sihat ini kepada aku. Alhamdulillah.

Harapan aku. Moga kedatangan bulan Ramadhan kali ini menambahkan imanku lagi. Moga kedatangan bulan Ramadhan kali ini banyak menyedarkanku lagi dan semoga kedatangan bulan Ramadhan kali ini memberi seribu erti buat diriku. Amin Amin Ya Rabbal Alamin.

Dan untuk semua, Selamat Menjalani Ibadah Puasa. Semoga beroleh keberkatan di dunia dan di akhirat. InsyaAllah, amin!~ Hah, jangan ponteng puasa naa! ;)

****************

P/S: Buat semua pembaca di blog ini. Mohon doa kalian semua. Doakan semoga Mak Ndak aku sihat seperti sediakala. Bangun daripada komanya dan kembali kepada keluarga serta anak-anaknya yang merindui kehadirannya di sisi. Sesungguhnya doa kalian semua pasti akan membantu. InsyaAllah. Doakan yer! :)

Doa yang paling segera dimakbulkan ialah doa secara ghaib (tanpa pengetahuan orang yang di doakan itu) | Hadis riwayat Abu daud dan Tarmidzi |

Wassalam,
Ilaliqa'.

Monday, July 16, 2012

Monolog Hatiku Yang Hanya Untukku


Di hadapan bangunan sekolah itu, mata aku terpaku menyaksikan satu adegan. Seorang bapa yang dikejutkan (buat suprise) oleh anak kecil perempuannya sendiri yang baru habis sesi persekolahan. Kedua-duanya tersenyum dan aku juga begitu. "Sweet!" Reaksi mulutku. Namun hati ini terasa. Cemburu? TIDAK. Sedih? MUNGKIN HANYA SEBESAR ZARAH. :')

Jasadku masih statik di tempat yang sama namun fikiranku melayang entah ke mana. Berfikir dan terus muhasabah. Tidak bersyukurkah aku? Apa lagi yang aku tidak cukup? Soalan yang tiada jawapan. Disaat hati sedang berperang dengan perasaan sendiri, iman dan akal beri penyelesaian yang bernas kepada diri. Mendamaikan hatiku semula.

Monologku kepada diri sendiri,

"Mengapa harus dibandingkan kehidupan kau sendiri dengan kehidupan insan yang lain. Mengapa kau perlu memandang negatif dengan kehidupan sendiri. Mengapa kau harus merasa diri tidak bertuah dan kurang disayangi. Tidak perlu semua itu. Allah itu Maha Adil, setiap perkara yang diberikanNya kepada kau sudah memadai sebenarnya. Kau cuma harus buka mata hati dan nikmati apa yang ada di depan mata. 

Allah itu Maha Penyayang. Tidak cukupkah kasih sayangNya yang diberikan kepada kau? Melimpah ruah rasanya kasih sayang yang Allah SWT tunjukkan kepada kau. Jangan kau cakap diri kau kurang kasih sayang kerana itu semua tidak benar!  Allah masih tidak jemu menyayangi diri kau walaupun ada 'insan' yang tidak lagi menghiraukan kewujudan kau.

Kau merasa kau kurang itu dan ini tapi hakikatnya masih ramai lagi manusia di luar sana yang lebih kekurangan daripada kau. Jadi mengapa kau harus mengeluh dengan nasib kehidupan sendiri. Arghhh hidup itu indah sebenarnya dan ujian juga indah. Kau tolonglah bersyukur!"

Aku terus berlalu dari situ. Insan yang aku tunggu sudah datang. Assalamualaikum.



NoteForMySelf : Life is simple, don't make it complicated. Just move on you legs and life! Strive for His Mardhatillah and lead a happy life with pleased, grateful and patient. 

NoteForMySelf 2 : Kau itu Aku dan Aku itu Kau #buatbuatlahfaham

CurrentListening : [Nazrey Johani - Nikmat Ujian]


Wassalam.
Ilaliqa'.

Sunday, July 8, 2012

"Susahnya Nak Jadi Baik"


Sungguh kekangan masa membuatkan aku teringin untuk bersiar-siar di luar sana. Menghirup udara segar untuk seketika cuma. Baru tersedar masa cuti ini tidak diperuntukkan dengan sebaiknya buat diri sendiri. Maka aku terus mengajak Marissa pergi ke taman permainan di belakang rumah. Sambil melihat Marissa and the geng main kejar-kejar, aku hanya duduk santai di bangku yang disediakan. Di sebelah ada dua orang remaja perempuan sedang berborak. Awal remaja mungkin. Mata mengawasi si kecil Marissa tapi telinga kadang-kadang terdengarkan perbualan remaja di sebelah. 

"  ....................  susahnya nak jadi baik ...................."

Perbualan yang lain tidak aku endahkan cuma sebaris ayat di atas yang diungkapkan salah seolah daripada mereka membuatkan aku tersenyum. Susahnya nak jadi baik. Ayat itu juga pernah diungkapkan oleh mulut aku dulu. Permulaan untuk menjadi baik itu banyak ujiannya. Sungguh.

Perjalanan ini kita mulakan dengan niat untuk menjadi baik. Melangkah dengan penuh harapan, agar dibalas dengan semanis keindahan. Tanpa kita sedar, jalan yang dipilih bukan mudah untuk dilalui. Ramai yang sudah tersungkur walaupun belum sempat kakinya melangkah. Bila kita berjalan, kita akan dipandang sepi. Bila kita berlari, kita akan dikeji. Bila kita berkata, kita akan dikata. Bila kita terjatuh, kita akan dikutuk. Bila kita mendekati, mereka akan menjauhi.

Alangkah runtunnya hati ini, bila kita berkorban mengharapkan yang terbaik tapi kita pula dihamburkan dengan kata-kata nista. Dugaan demi dugaan yang datang tiba-tiba membuatkan bibir kita berkata, "susahnya nak jadi baik." Rasanya seperti ingin lepaskan diri. Membiarkan ia bebas dan terbang tanpa ikatan. Hati mula rapuh, pendirian mula bergoyah. Semakin lemah kaki melangkah, semakin lesu hati berkata, semakin mata kita berkaca. 

Tiba-tiba, satu suara memberitahu satu cerita. La Tahzan, La Tahzan, La Tahzan. (Jangan Bersedih, Jangan Bersedih, Jangan Bersedih) Kata-kata yang memberi seribu makna, kembali menyegarkan jiwa. Lantas kini, diri ini teguh berdiri. Hati ini meragut kembali sejuta misi. Kembali dengan wajah yang sama tetapi membawa semangat yang lebih berganda banyaknya. Dengan izin Allah, pengembaraan diteruskan hingga lah sekarang. Kembara Hamba Mencari Cahaya pasti akan diteruskan hingga akhir hayat. Permulaan yang pahit dahulunya moga Allah balas dengan keindahan di pengakhirannya. Moga Allah Redha.

P/S: Mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis. Jalan ke syurga itu penuh dengan onak dan duri, jalan ke neraka itu penuh dengan keju dan roti. Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. May Allah Bless Us! Assalamualaikum :)

Wassalam.
Ilaliqa'.

Friday, June 29, 2012

Shiro & Hamtaro

Comel pula tengok gambar ni. :)

Assalamualaikum. Lama rasanya tak update blog kesayangan ni. Masa, masa, masa. Semuanya berkaitan dengan masa yang sangat padat. Fuh! Patutlah ada kata bijak pandai, 'masa itu emas'. Hukama pula mengibaratkan masa sebagai pedang. Jika kita manusia tidak berusaha untuk mendahuluinya dalam maksud mengejar kepentingan dunia dan akhirat setiap masa, maka masa pasti akan mendahului kita. So, kejarlah masa dengan melakukan tugasan dan amalan yang berkualiti kerana masa tidak akan menunggu kita.

Ok berhenti membicarakan tentang masa. Kita fokus kepada tajuk utama! Shiro dan Hamtaro. Eh siapa tu? Merekalah bucuk sayang aku (Hamster). My second sweetheart in my heart after my lovely H and A. Kali ni mak aku pula yang belikan dan suruh aku jaga dengan penuh kasih sayang. Waaaaaaa! Rasa macam nak terbang di awangan aje bila lihat kecomelan mereka yang amat terserlah. #uhuk-uhuk

Ramai tanya, bila tahu aku bela hamster. "Eh hamster kan ada kencing tikus?" Reaksi aku? Tak cakap banyak, suruh aje diorang buka link ini, Hamster Bukan Tikus, Tiada Istilah Kencing Tikus Pada Hamster. Hah terjawab belum persoalan yang timbul? #puas-hati-aku :p

Ok jom tengok gambar! Taknak cerita banyak dah :)

Saya suka Hijau (^_^)

Tidur berdua :)

Comel tangan.

(Kiri- Shiro) (Kanan- Hamtaro)

Muka Hamtaro yang tidur tak ingat!~

Sweetnya!

Shiro dah tukar tempat tidur.


Wassalam.
Ilaliqa'.

Friday, June 22, 2012

Cafe Cinta - Muhasabah Cinta





Bismillah. Assalamulaikum.

Siapa kata tak 'couple' maka tak kenal. Kami dulu tak couple, tapi sebelum nikah kami kenal. Kenal yang bagaimana? Dengan sekeping biodata Dr. Farhan Hadi, Akak dapat tahu dia ni anak siapa, asal mana, kos apa, universiti apa, suka makan apa, minat apa, misi, visi hidup apa. Semua ada kat dalam biodata tu. Dalam masa 1 minit saja akak dapat kenal.

Jadi betul kata Imam Hasan Al-Banna : 'Kalau kamu ber 'couple', berkawan-kawan 20 tahun sekalipun, kamu tidak akan kenal dia. Yang kamu kenal adalah lakonannya." Sebab tu buang masa aje, lebih baik kahwin terus. Senang! Kenal yang sebenar-benarnya.

Kata pepatah Arab: "Kullu Khatib Kazib." (Setiap yang bertunang / yang ada perasaan sebelum nikah ini sedang berdusta / sedang tidak menjadi dirinya yang sebenar)

Kita hanya akan kenal seorang kekasih. Bukan seorang SUAMI dan kalau kita ber 'couple' atau bercinta sebelum nikah, ini akan menjadi modal syaitan untuk merosakkan rumahtangga akan datang.

-Ustazah Fatimah Syarha, Cafe Cinta-

**********

Muhasabah cinta hari ini. Aku ringkaskan pengisiannya, tulisan di atas hanya sebahagian sahaja isi daripada forum ini. Menarik kan? Jadi, lebih elok kalau korang semua tengok videonya. Lebih mantap gitu! Sebuah perkongsian daripada Ustazah Fatimah Syarha dan Dr. Farhan Hadi. Sangat best dan bermanfaat buat kita semua, manusia yang mempunyai perasaan cinta. Cinta, cinta juga tapi kenalah kahwin dulu yer. Biar semuanya halal, barulah ada berkat. ^_^

Wassalam,
Ilaliqa'.

Wednesday, June 6, 2012

Dia Yang Halal Untuk Ku


Assalamualaikum. Baru selang beberapa jam, tak sampai sehari lagi, mendengar cerita seorang kakak yang mana dia menceritakan saat-saat manis dia dating dengan suaminya. Diri ini hanya mampu tersenyum melihat keterujaan kakak itu menceritakan kenangan manisnya, sambil dalam hati berbisik, "Syoknya kahwin!" (statement tipu aje tuh!) "Lebih terasa bahagianya bila dating dengan si dia yang halal untuk kita." (ini baru statement yang benar!) #uhuk-uhuk

Lihat ayat-ayat yang aku bold kan. Dapat tak apa yang aku ingin sampaikan? Kahwin + Halal + Dating + Bahagia = [?????]. Jawapannya pasti saja akan ditemui dalam hati kamu sendiri. Apa-apa jawapan yang berunsur kebaikan dan manfaat yang berpanjangan pasti saja diterima. Boleh dapat cop bintang lagi! :)

Bila cakap pasal soal teman yang halal ini. Pasti semua orang suka. (mengaku cepat!) Pasti semua orang impikan yang halal begitu juga dengan insan yang sedang menulis ini. Aku impikan yang halal sebab apapun yang dilakukan bersama semuanya halal. Dapat kumpul pahala lagi! #bertuah sungguh lah orang yang dah kahwin ni kan? :D

  • Nak berpegangan tangan waktu jalan-jalan. Peganglah!
  • Nak panggil dengan panggilan yang mesra. Panggillah!
  • Nak berkepit dua puluh empat jam. Kepitlah!
  • Nak bergambar sama-sama sambil laga-laga pipi. Bergambarlah!
  • Nak naik motor keliling kampung sama-sama. Naiklah!
  • Nak dating malam-malam dekat taman bunga. Datinglah!

Tengok? Bahagianya bila bersama yang halal untuk kita. #senyum

**********

Aku diserang penyakit rindu lagi! Tiba-tiba rindu pula dengan Adam yang bertakhta di hati ini. Minggu depan, dapatlah jumpa dia! Masa masih panjang untuk sampai ke minggu depan. Huwaaaaaaa rindunya! (T_T) #tak sabar nak jumpa

Hensem tak Adam kita? Hensem kan! Hensem kan! :D

Wassalam,
Ilaliqa'.

Tuesday, June 5, 2012

❤ My Sweet H and A ❤

Alfaa sedang meminta perhatian! *merayu lebih tepat

Assalamualaikum. Yeahh hari ni mood ceria sikit. Blog pun ceria juga, cerah aje mata bila memandang. Haha :D Oh ya! Masih ingat akan kisah rabbits yang abah aku amanahkan untuk aku jaga tu? Dulu aku janji nak cerita pasal diorang, sekarang aku akan tunaikan! *semangat-semangat

Malas nak cerita panjang-panjang sebenarnya. Aku cerita secara ringkas aje ok! Pada suatu hari, petang dalam pukul 5:45 PM. (lebih kurang) Aku keluar daripada bilik air, baru lepas ambil wudhuk. Tiba-tiba dengar suara kakak aku menjerit.

" Shiqah! Abah bawa balik rabbit!!" 

Ok biarkan dulu kerana nak teruskan niat yang sebenar. Lepas sudah semua, barulah keluar rumah. Teruja sungguh kot! Aku ni dah lah tak boleh tengok haiwan yang berbulu, memang sangat lah aku suka! Kalau haiwan yang terbang-terbang tu, memang aku lah orang pertama yang naik atas meja dulu. (lipas!) Hehe :D 

Then my abah said to me,

"Hang jagalah arnab-arnab ni. Kawan abah bagi."

See! Abah aku memang tahu apa yang aku suka. Kalau bawa balik haiwan yang berbulu aje, mesti suruh aku jaga. Dulu Manja (kucing), sekarang rabbits! Alhamdulillah, sangat bersyukur dengan amanah yang telah Allah kurniakan kepada aku ini. Kenapa aku cakap amanah? Sebab pelihara haiwan ini sangat berat tugasnya. Kalau kita tak pelihara betul-betul, kita boleh didakwa di padang masyar kelak. 

Haiwan ni hanya orang yang betul-betul suka aje boleh jaga. Yelah, hari-hari kena bersihkan najis dia, tempat tinggal dia, tukar air dia, makanan kena topup setiap masa. Kalau orang yang tak suka, permulaan aje buat sungguh-sungguh tapi bila dah lama-lama buat tak tahu aje. Kan tak bagus tu? :) So kalau nak bela tu, bela betul-betul. Besarkan mereka dengan penuh kasih sayang. Anggap mereka sebagai adik-beradik kita sendiri. Nak tahu? Bila kita jaga mereka dengan penuh kasih sayang, nanti mereka pun akan sayangkan kita. Kita boleh rasa perasaan tu. Percayalah!!! 

Ok sesi penceritaan dah tamat! Masa tengok gambar pula. My sweet H and A. Sebelum tu, kita tengok pemberian nama. Nama yang diberi oleh aku dan kakak aku. Jantan kita gunakan pangkal nama H dan betina kita gunakan pangkal nama A. Heart, Hazel, Hemo, Alfaa, Aipink. Kak Hani kata nama mereka berlima unik. (terima kasih! terima kasih!) Kisah disebalik nama diorang ialah,

Heart: Sebab dia baik hati. 
Hemo: Sebab dia gemuk. 
Hazel: Sebab dia warna coklat.
Alfaa: Sebab dia suka makan daun Alfalfa.
Aipink: Sebab telinga dia warna pink.

Ok sekarang masa untuk gambar yang sebenar! Lihatlah kecomelan mereka! ;)

Waktu diorang mula-mula datang dan masih kecil. Muka pun tak matang lagi. Hehe :D
My Hero yang dah pandai gaduh pasal awek :p
My Heroin yang dah pandai bergaya ^^
Tempat main-main mereka. Bersih dan suci kerana setiap hari dimop lantainya.

Sahabat baginda bertanya kepada baginda Rasulullah SAW, "Adakah kita mendapat pahala berbuat baik kepada binatang-binatang?" Lalu baginda bersabda, "Berbuat baik kepada tiap-tiap hati yang hidup itu (yang bernyawa) diberi pahala." 
(Hadis Riwayat Bukhari)

Wassalam,
Ilaliqa'.

Sunday, June 3, 2012

Ada Anak Kita Kekal, Tak Ada Anak Kita Cerai?

Pipi dia! Rasa macam nak gentel buat cekodok aje. Haha! (kejam)

Assalamualaikum. Bila ada cinta, terbukalah gerbang perkahwinan. Bila ada perkahwinan, sudah pasti ada cahaya mata. Kalau tiada cahaya mata macam mana pula yer? Haaaaaaaaaaa!~ Fikirkan, fikirkan. Mari sama-sama kita fikirkan. 

Firstly, korang kena baca cerpen ni dulu. Kalau tak baca, korang tak akan faham apa yang aku tulis disini. Untuk lebih faham la kan, sila baca. [PART 1] dan [PART 2]

Dah baca? Ok kembali kepada topik kita. Yeah aku akui bahawa setiap orang yang berkahwin pasti mahukan cahaya mata. Siapa tak nak zuriat sendiri kan? Tapi jika Allah sudah menetapkan begitu, maka begitulah yang harus kita terima. Saling salah-menyalahkan, perlukah semua itu? Arghh tindakan itu hanya akan menyakitkan dan menyedihkan hati masing-masing saja. Bukanlah kehendak si isteri atau si suami untuk berada dalam keadaan berikut, tapi itu semua ketentuan Allah. Bila Allah sudah merancang, pasti akan ada hikmah disebaliknya. Cuma perlu bersabar. Dan aku tahu sabar itu bukan perkara yang mudah. Sebab itu Allah akan beri ganjaran yang banyak buat sesiapa yang berjaya bersabar. Cuma pada zaman sekarang, ramai yang gagal daripada berjaya. Itulah hakikatnya. Aku tahu itu. T_T

Bila baca cerpen di atas, aku terfikir, Adakah cinta dalam perkahwinan itu hanya akan kekal dan bahagia jika dikurniakan zuriat? Kalau tidak dikurniakan zuriat, rasa cinta akan pudar, layu dan hilang terus. Begitu ya? Macam tuh ke?  *sedih

Bagi aku perkahwinan itu bukan tentang zuriat sahaja. Bagi aku, Perkahwinan itu adalah tentang perjalanan dalam mencari Cinta Kelas Pertama! Perjalanan mencari cinta Allah kemudian disandarkan pada seorang insan bergelar kekasih yang halal. Menghargai dan memiliki dengan penuh keredhaan! Bukan memiliki tapi tidak menghargai hingga membuatkan harga cinta itu menjadi terlalu murah di mata manusia! Itulah yang tertanam dalam hati aku, sejak dulu lagi. 

Sama-samalah kita fikir. 

Wassalam,
Ilaliqa'.

Friday, June 1, 2012

Lemah Sungguh Iman Hamba Bila Berhadapan Dengan Fenomena Di Laman Facebook Ini

Haha jadi tak contoh yang aku buat? Hee~

Assalamualaikum. Fenomena sekarang. Aku terangkan secara simple aje lah! Tangkap gambar bersama pakwe/makwe masing-masing dan seterusnya letak di facebook. Then, ramai orang like, ramai orang komen contohnya seperti di atas, "sweetnya!" 

Dan tiba-tiba dalam hati terdetik, 'Tiada siapa yang berani menegur perbuatan mereka kan? Walaupun hanya sekadar nasihat dalam kiasan. Semua asyik komen, "Oh! Sweetnya kamu berdua!" Kan?'  *senyum

Aku nak kongsi sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dan Ahmad. Hadisnya berbunyi begini, "Sesiapa antara kamu yang melihat perkara mungkar, hendaklah dia mengubah atau mencegah dengan tangannya. Jika tidak berkuasa mencegah dengan tangan, hendaklah dia mencegah dengan lisan. Jika dia tidak berkuasa mencegah dengan lisan, hendaklah dia mencegah dengan hati. Dan mencegah dengan hati itu adalah selemah-lemah iman."

Jadi sesiapa yang mampu mencegah menggunakan tangan dan lisan, teruskanlah! Jangan jadi macam tuan blog ni. Kadang-kadang jadi selemah-lemah iman. T_T

Wassalam,
Ilaliqa'.

Saturday, May 19, 2012

Cerpen: Dia Sempurna Dalam Ketidaksempurnaan, Dialah Isteriku.



Hari pernikahanku. Hari yang amat bersejarah dalam hidup aku. Seharusnya saat ini aku menjadi manusia yang paling bahagia di dunia namun entah mengapa perasaan haru biru pula yang aku rasakan. Arghh memanglah aku berperasaan begini. Pada hari bersejarah ini, tiada satu pun sanak saudara yang menemani aku  ke tempat pengantin perempuan. Lebih-lebih lagi ibu. Beliaulah insan yang paling menentang pernikahan aku ini. 

Telinga aku masih terngiang-ngiang akan lontaran kata-kata ibu kepadaku,

"Rupanya jadi juga kau nikah dengan 'perempuan gagak hitam" tuh ya?!"

Arghh. Hati aku sudah tidak senang melihat gaya percakapan ibu. Calon isteri aku dipanggil dengan panggilan yang tidak elok. Namun aku masih berdiam diri. Kesabaran aku masih tersisa.

"Kau ni agaknya dah kena sihir kot dek perempuan tu. Takkan lah kau suka dengan perempuan kulitnya hitam, gemuk dengan wajahnya yang sama sekali tak menarik. Cacat pula tuh!" Sambung ibu lagi.

"Sudah, bu! Sudah! Tak payahlah ibu menghina bakal isteri saya sekasar itu. Dia juga makhluk ciptaan Allah juga ibu. Ibu bercakap begini seolah-olah ibu menghina ciptaanNya. Sedarlah ibu. Istighfar!" Kali ini aku terpaksa membalas kata-kata ibu dengan sedikit emosi. Tapi ternyata ibu tersinggung dengan kata-kataku itu.

"Oh rupanya kau lebih memilih perempuan tu daripada keluarga kau sendiri! Baiklah Harraz, Aku izinkan kau berkahwin dengan dia tapi jangan harap sesiapa daripada ahli keluarga kita akan datang masa majlis kau nanti. Dan jangan kau bawa perempuan tu ke rumah ibu. Ibu tak benarkan!"

Ibu terus masuk ke dalam bilik dan menghempas pintu, kuat.

**********

"Harraz. Janganlah kau susah hati macam ni. Kejap lagi tok kadi sampai." Teguran Arif, sahabatku menyedarkan aku dari lamunan. Segera aku beristighfar dalam hati.

"Alhamdulillah. Tok kadi dah sampai pun. Bersiaplah, Harraz." Sekali lagi Arif memberi semangat kepada aku. Bahuku ditepuk-tepuk kuat.

"Aku terima nikahnya Khairun Solehah binti Mahmud Hassan dengan mas kahwinnya 80 ringgit tunai."

'Alhamdulillah. Ya Allah, hari ini telah Engkau izinkan aku untuk meraih setengah dien. Mudahkanlah aku untuk meraih sebahagian yang lain.'

**********

Di bilik yang amat sederhana. Di atas lantai marmar kakiku terpaku lama. Memandang isteriku yang masih menundukkan mukanya dan diam sejak tadi. Setelah sekian lama kami mendiamkan diri, akhirnya dengan lafaz bismillah aku mula menyapanya.

"Assalamualaikum. Tentang permintaan untuk hafalan Quran tu bila kita nak mulakan ya?" Tanyaku sambil memandang wajahnya yang sejak tadi disembunyikan dalam tunduknya. Sebelum kami bernikah, isteriku memang pernah meminta agar aku membacakan hafalan Quran tiap malam satu juz bermula daripada malam pertama hinggalah malam kesepuluh. Dan permintaan itu telah aku persetujui.

"Waktu qiamullail nantilah." Jawab isteriku, masih dalam tunduknya. Wajah yang masih memakai tudung putih itu, dia sembunyikan dalam-dalam. Saat kuangkat dagunya, dia seperti ingin menolak. Namun ketika aku memberi isyarat bahawa aku suaminya dan berhak untuk melakukan itu, dia menyerah.

Kini mata aku terpaku lama di wajahnya. Benar kata ibu bahawa wajah isteriku 'tidak menarik.' Fikiran tersebut bagaikan hujan lebat yang menimpa kepalaku namun segera aku mengusirnya. Matanya yang berkaca-kaca menatap bola mataku.

"Abang, saya dah katakan pada abang sejak awal taaruf lagi bahawa fizikal saya seperti ini. Kalau abang kecewa, saya bersedia menerimanya dan saya ikhlas. Namun jika abang tak menyesal mengambil saya sebagai isteri, mudah-mudahan Allah memberikan keberkatan yang banyak untuk kehidupan abang kelak. Seperti keberkatan yang Allah limpahkan kepada bapa Imam Malik yang ikhlas menerima sesuatu yang tidak dia sukai pada isterinya. Saya ingin mengingatkan abang akan firman Allah yang dibacakan oleh ibu Imam Malik pada suaminya pada malam pertama pernikahan mereka, "Dan bergaullah dengan mereka (isterimu) dengan penuh (ihsan). Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana kamu mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjanjikan padanya kebaikan yang banyak." (QS An-Nisa': 19)

Mendengar tutur kata isteriku, kupandang wajahnya yang penuh dengan airmata itu dalam-dalam. Aku teringat kisah suami yang rela menikahi seorang wanita yang mempunyai kecacatan. Dari rahim wanita itulah lahirnya Imam Malik, ulama besar umat Islam yang namanya abadi dalam sejarah.

'Ya Rabbi, aku menikahinya keranaMu. Maka turunkanlah rasa cinta dan kasih sayang milikMu pada hatiku untuknya. Agar aku dapat mencintai dan menyayanginya dengan segenap hati yang tulus ikhlas.'

Perlahan-lahan aku menghampiri isteriku. Lalu dengan tangan yang bergetar sebak, ku rangkul tubuhnya dalam dakapanku. Sementara, isteriku menangis terhenjut-henjut dengan wajah yang masih tersimpan sisa-sisa ragu.

"Jangan paksa diri abang untuk ikhlas menerima saya. Sungguh, saya terima apa-apa saja keputusan yang keluar daripada mulut abang walaupun keputusan yang akan mengecewakan saya nanti." Ucapnya lagi.

"Syuh... Tak, abang takkan buat macam tu. Sungguh sejak awal niat abang berkahwin dengan awak kerana Allah. Abang pasti dan yakin dengan niat itu. Hingga abang tidak menghiraukan lagi keluarga abang yang pulaukan abang dan tidak mahu datang majlis perkahwinan kita pagi tadi." Pujukku sambil tangannya aku genggam erat.

**********

Malam yang sangat kelam telah menunjukkan muka. Pada malam yang sunyi itu aku bermunajat dan berdoa padaNya.

"Ya Allah, tak dapat aku menidakkan bahawa kecantikan wanita itu dapat mendatangkan perasaan cinta buat insan bergelar lelaki. Namun telah kutepis syarat untuk memilih isteri kerana rupa yang cantik kerana aku ingin mendapatkan cintaMu, Ya Allah. Ya Rabbi, saksikanlah malam ini akan kubuktikan bahawa cinta sejatiku hanya akan kupersembahkan kepadaMu. Kerana itu Ya Allah, pertemukanlah aku denganMu dalam jannahMu. Tempat yang sangat didambakan oleh orang-orang mukmin. Amin.."

Langkah ku atur perlahan menuju pembaringan yang agak sederhana itu. Lalu, ku tatap raut wajah isteriku dengan seluruh hati yang ikhlas. Ah, sekarang aku benar-benar mencintainya. Kenapa tidak? Bukankah dia wanita solehah sejati. Dia sentiasa menegakkan malam-malamnya dengan bermunajat panjang pada Rabbnya. Dia sentiasa menjaga hafalan ayat-ayat Al-Quran dengan baik. Dan dia sentiasa mengamalkan sunnah Rasulnya. Sungguh dia sempurna dalam ketidaksempurnaan. Dan dialah bidadari syurgaku di dunia dan akhirat.

~~Selesai~~


P/S: Alhamdulillah. Selesai juga menulis cerpen ini. Cerpen yang ke-4 tak silap. (T_T) Sungguh aku sentiasa ingin menulis cerpen yang bermanfaat dan banyak pengajaran yang boleh diambil oleh pembaca semua. Oleh sebab itu, aku harap cerpen ini juga ada pengajaran disebaliknya ok. Hanya cerpen ringkas. So, enjoy reading! :D

P/S 2: Aku percaya kecantikan itu bersifat subjektif. Cantik tidak semestinya dinilai dengan kecantikan paras rupa, namun kecantikan juga boleh diukur dengan akhlak yang baik, ilmu yang berguna, serta cara kita membawa diri. (:

P/S 3: Terimalah pasangan hidup kita seadanya. (^_^)


Wassalam,
Ilaliqa'.

Tuesday, May 8, 2012

Cerpen: Cinta Dalam Hati



Melalui hati..
Hanya dengan hati..

Tak banyak yang dapat dilakukan oleh Zinnirah kala perasaan itu datang menghampirinya. Dia hanya boleh diam dan menyimpan perasaannya itu sendiri, di dalam hatinya. Tiada seorang pun yang tahu kecuali dirinya sendiri. Nama seorang ikhwan telah bertakhta di dalam relung hatinya tapi sungguh tak pernah dia sengaja meletakkan nama itu di hatinya. Perasaan itu pun tak pernah dia pupuk sehingga boleh berkembang dengan indah. Melalui hati, ya, hanya dengan hati dia merasakan perasaan itu. Tidak dengan kata-kata, ucapan, atau pun tingkah laku yang membuatkannya jadi tak berdaya atas rasanya itu.

Dialah seorang muslimah yang sangat pintar menanggani perasaannya sendiri. Tak pernah dia biarkan syaitan-syaitan menjerumuskannya ke lembah kehinaan yang pada akhirnya membuatkan darjah keimanannya menurun mendadak. Jika rasa sendiri sedang melanda dirinya, bukan “nama” itu yang dia fikirkan, melainkan Allah lah yang dia ingat melalui lantunan zikir yang dia lafazkan atau dengan membaca ayat-ayat cinta-Nya yang membuat dia semakin cinta pada Tuhannya. Tak pernah dia menangisi perasaannya terhadap ikhwan itu, walaupun kadangkala dirinya terbabas juga tetapi dengan segera dia membuangnya. Seboleh mungkin dia memusatkan fikiran dan seluruh jiwa raganya hanya untuk Rabbnya. Dan bukan selain-Nya. Fikirnya, kalau jodoh tak akan kemana. 

Di celah bumi Allah yang lain, seorang ikhwan bernama Iman sedang membaca nukilan puisi yang ditulis di  atas secarik kertas, yang di bahagian bawahnya tertulis nama seorang akhwat, yang menunjukkan bahawa si akhwat lah yang menulis puisi tersebut. Kertas itu dia dapat dari bawah bangunan universiti. Tanpa sengaja dia melihat kertas itu terjatuh dari tingkat atas bangunan universiti dan dia ambil. Setelah dilihat siapa penulisnya, ternyata yang mencoret puisi itu adalah seorang akhwat yang namanya sudah lama bertahta di dalam relung hatinya. Namun dia tak menyimpan kertas itu, sebaliknya dia letakkan kembali surat itu di tepi bangunan, lalu dia pun berlalu tanpa mahu memanjangkan lagi ingatannya terhadap diri akhwat itu. 

**********

Di saat Zinnirah sedang menyiapkan kertas kerja untuk program di masjid universitinya, Umminya menghampiri dirinya dan duduk di kerusi tua yang terletak elok di sebelahnya

“Tengah buat apa tu, anak Ummi?” Tanya Ummi.

“Tengah siapkan kertas kerja untuk program di masjid universiti Ira. Kenapa Ummi?” Jawabnya dengan mengajukan pertanyaan balas kepada umminya, tanpa mengalihkan pandangannya dari skrin laptop.

“Takda apa lah. Ummi cuma rindukan kamu aje.” Jawab ummi yang langsung disambut dengan senyuman manis Zinnirah. Hanya sebuah senyuman yang membuat hati kecil seorang ummi semakin rindu. Entah mengapa akhir-akhir ini, rasa rindu terhadap anaknya ini begitu besar. Mungkin kerana beberapa hari ini, dari pagi sampai malam Zinnirah selalu berada di luar rumah, tepatnya di universiti bersama sahabat-sahabat di masjid universitinya untuk melakukan persiapan program seminar motivasi yang bakal diadakan tidak lama lagi. 

“Ira tak rindu ummi ke?”

Zinnirah mengalihkan pandangannya.

“Tiada apa yang Zinnirah rindukan setelah Allah, selain Rasulullah dan Ummi.” Setelah meninggalkan senyum manisnya lagi di hati ibunya, dia kembali memandang skrin laptopnya.

“Ira, apa…selama ini kamu tidak punya…kawan rapat?” Tanya ummi takut-takut.

“Kawan rapat yang bagaimana maksud ummi?” Tanya Zinnirah yang sudah boleh membaca kemana arah perbualan yang umminya utarakan.

“Ermm yelah. Kawan-kawan ummi, anak-anaknya hampir semua ada kawan rapat. Apa kamu tidak ingin seperti mereka?”

“Maksud ummi teman lelaki?” Tebak Alya pada umminya. Lagi-lagi tanpa mengalihkan pandangannya dari skrin laptop.

“Bukan ummi yang cakap. Ira yang kata teman lelaki.” Umminya berusaha mengelak meskipun memang itu maksudnya. Zinnirah hanya tersenyum kecil tanpa mengeluarkan sepatah katanya lagi. Dia hanya ingin diam.

“Kenapa diam, Ira?” Tanya ummi.

Kali ini Zinnirah memutar kerusinya kearah umminya. Dengan sebaris senyuman, dia pun mula berkata,

“Ummi, walaupun tanpa seorang teman lelaki disamping Ira, Ira dah rasa sangat bahagia dengan adanya ummi, ayah, dan semua keluarga kita disamping Ira. Dan Ira tak perlu seorang teman lelaki supaya dapat menemani Ira kemana-mana, kerana Allah kan ada. Dan kalaupun Ira ingin mencari seorang pendamping, bukan teman lelaki yang Ira cari, sebaliknya seorang suami. Suami yang boleh menuntun dan membimbing Ira ke arah yang lebih baik. Ummi tak perlu risau ataupun takut jika Ira tak seperti anak kawan-kawan ummi, kerana Ira yakin, apa yang Ira jalani saat ini adalah jalan kebaikan dengan cara yang baik dan untuk menuju sesuatu yang baik pula. Ummi faham kan?”

Ummi hanya menatap wajah anaknya dengan perasaan terharu. Betapa mulianya hatimu nak, hatinya berbisik. Lalu dia pun kembali bertanya,

“Jadi, ada sesiapa yang kamu minat sekarang ni, Ira?”

Jujur, Ira sangat terkejut atas pertanyaan ibunya itu kerana saat ini memang ada nama lain di hatinya yang akhir-akhir ini mengusik hatinya, namun segera dia tepis rasa terkejut itu dengan istighfar dalam hatinya.

“Kalau ada, kenapa ummi?” Jawab Zinnirah tanpa harus jujur meski tak jua berbohong.

“Hurmmm… Takda apa-apa lah Ira. Ummi hanya ingin memastikan kalau saat ini anak Ummi sudah dewasa. Sudah boleh memilih mana yang terbaik untuk dirinya. Ok lah, teruskan saja kerja kamu tuh. Ummi pergi dulu yer?”

Zinnirah hanya tersenyum. Lagi-lagi hanya senyuman yang menutup perbincangan dia dengan umminya. Dia tak berusaha untuk memunculkan wajah ikhwan itu meskipun dalam hatinya sangat ingin. Namun dia tahu bahawa itu dosa. Dia kembali beristighfar sambil terus melanjutkan pekerjaannya. Dan rasa itu, biar hatinya saja yang merasakan. Tak perlu diungkapkan apalagi disebarkan ke khalayak ramai. Tak perlu dengan kata-kata dalam memaknai rasa itu. Cukup melalui hati, hanya dengan hati. Dan diam adalah kunci dari semua masalah itu.

Puisi Nur Iman Zinnirah

Aku tak mengerti dengan rasa dalam hatiku
Aku hanya bisa merasakannya lewat hati
Hanya dengan hati
Tak perlu dengan kata-kata
Kerana kata hanya akan membuat luka
Aku akan terbang jauh
Bersama anganku yang melayang
Menerawang menembus angkasa
Lalu jatuh bersama derai air mata
Aku tak akan mahu mengingatmu
Demi rasa haru sembunyikan cinta
Demi rasa sedih kerana tak bisa berbagi cinta
Demi rasa sakit memendam rasa
Akan kupendam dalam-dalam cinta ini
Dan akhirnya, demi cinta itu sendiri


CS: Cerpen yang aku sendiri tidak tahu apa pengakhirannya kerana aku sendiri pun tak mampu nak nukilkan apakah yang akan berlaku selepas itu. Huhu~ Rasanya lebih baik begini kot? Lagipun, True love stories never have endings right? :)

Saturday, May 5, 2012

❤ Aku Terima Nikahnya ❤

[SUMBER]

5 Mei 2012 - Persandingan

Selamat pengantin baru,
Semoga kekal abadi bahagia,
Ke anak cucu sentosa,
Murah rezeki..

Riuh rendah di luar rumah. Lagu kahwin berkumandang dengan gilang gemilang. Sungguh meriah. Di hadapan rumah, dua mempelai sedang diraikan. Menatap senyuman di wajah raja sehari, oh nampak sangat mereka sedang berbahagia. Indah sungguh bila menatap wajah orang bahagia, rasa diri ini pun turut sama bahagia dan terbang di awangan. Hehe :D 

******

4 Mei 2012 - Akad Nikah (Imbas Kembali)

"Aku terima nikahnya ___________ dengan mas kahwin _________ tunai!"

"Sah!"

"Sah!"

Pengantin perempuan meraup muka lega begitu juga dengan pengantin lelaki. Ayat keramat itu sudah dilafazkan maka sah lah pasangan itu menjadi suami isteri. Bacaan doa dimulakan. Aku mengaminkan tapi pada masa yang sama, aku teringat sesuatu. Di sebalik lafaz aku terima nikahnya, sungguh banyak makna dan tanggungjawab yang tersirat dalamnya. 

Lafaz akad tu nampak aje senang nak cakap kan? Tapi inilah erti sebenarnya:

"Aku tanggung dosa-dosa si dia dari ibu bapanya, apa saja dosa yang dia buat, dari dedah aurat hingga ke tinggalnya solat, aku tanggung dan bukan lagi ibu bapanya tanggung sepenuhnya, dan aku tanggung semua dosa bakal anak-anakku. Kalau aku gagal maka aku fasik, dayus dan aku rela masuk ke neraka dan aku rela malaikat Zabaniyah melibas aku hingga pecah badan aku."

Sungguh besar makna daripada lafaz itu kan? Jadi, kepada para suami dan bakal menjadi suami, berpegang teguhlah dengan makna yang diperkatakan. Lafaz itu bukan sekadar lafaz semata-mata tetapi lafaz itu perlu dihayati. Renung-renungkanlah kaum Adam semua. :) Kamu semua insan terpilih untuk membimbing kaum Hawa yang bakal menjadi isterimu kelak. InsyaAllah. ^^

Akad nikah dilakukan pada waktu malam. Selesai akad nikah, tok kadi ada berbicara sedikit. Buat aku rasa terharu. Melebih betul aku ni. Err..

"Saya nak selepas akad nikah ini, pengantin perempuan salam tangan dan cium ibunya, bapanya, ibu mertuanya dan bapa mertuanya. Selepas itu barulah pengantin perempuan salam tangan suaminya. Semoga pernikahan ini diberkati olehNya dan diredhaiNya sepanjang hayat kedua-dua pasangan kerana apabila ibu bapa memberkati, maka Allah juga akan turut memberkati. Jika ibu bapa redha, maka Allah juga akan redha." 

Maka berlakulah adegan-adegan yang penuh emosi. Arghh biasa la tuh kan? :)

Dalam hati aku mempersetujui kata-kata tok kadi. Yer memang restu kedua-dua ibu bapa sangat penting. Tanpa restu mereka, mungkinkah perkahwinan yang dibina akan kekal bahagia hingga ke akhirnya? Mungkin ya dan mungkin tidak. Hurmmm~

Sekian saja laporan daripada saya!
Wassalam,
Ilaliqa'.

******

P/S: Selamat pengantin baru, Kak Lia dan suami. Moga berbahagia hingga ke syurga! :)

P/S 2: Ramai orang kahwin tahun ni. Moga berbahagia juga buat anda semua yang bergelar pengantin baru. Abang aku pun nak bertunang bulan 8 ni, InsyaAllah. Semoga Allah permudahkan dan semoga Allah redha.^^

P/S 3: Selamat hari jadi Nur Syazwani bt Zulkifli. Moga berbahagia selalu di samping keluarga tercinta dan berjaya di dunia dan akhirat. I Love You, beb! :D

P/S 4: Selamat hari jadi buat Adam sayang. Sudah setahun umur kamu ya. Cepat aje masa berlalu. Moga jadi anak yang soleh dan takmau nakal-nakal ek! Sayang Adam. <3

Tuesday, May 1, 2012

24 Oktober 2009

~Instrumental~

24 Oktober 2009, 7.00 PM.

"Faris!" Jerit suara lelaki itu. Namun sebentar dia terdiam. Seolah terpinga-pinga dengan jeritannya sendiri. Matanya kelihatan sayu memandang jalan yang hanya kosong panoramanya. 

Mata aku bertatapan dengan ayah aku. Kami saling berpandangan. Ayahku yang tadinya berada di sisiku berlalu, menghampiri si lelaki  lalu menepuk bahu lelaki itu. Mereka berbicara sendiri dan aku ternampak, lelaki itu mengesat matanya perlahan.

Dan aku? Sedih, sebak. Sungguh aku lebih rela tidak melihat situasi itu. Pada hari itu, aku kehilangan seorang sahabat baik yang sangat kamcing, sahabat yang gila-gila. Tapi lelaki itu? Dia kehilangan seorang anak. 

Sedih. Sangat Sedih.

*******

Imbas kembali.

Terdengar suara sumbang itu menyanyi. Menanti Di Barzakh. Haishh kerap kali lagu itu dinyanyikannya. Aku suka lagu tu tapi bila dengar dia nyanyi, aku rasa lain macam. Masa bila dia minat lagu nasyid?

"Hisy kau ni takda lagu lain ke? Lagu nasyid pula tuh, pasal mati lagi. Ada sesiapa nak mati ke?" Tanya aku. Macam lancangkan bunyinyer? Tapi itu dulu. waktu zaman UPSR. Kan kami gila-gila bersama. Rindu..

"Suka hati aku lah. Sekurang-kurangnya aku dah insaf, dengar lagu nasyid. Mana la tahu esok-esok aku mati. Nak ambil feel ni. Kau tak payah sibuk!" Balas dia.

"Alah kau muda lagi lah. Kan kita dah janji, nak ambil UPSR sama-sama. Kau mana boleh mati lagi." Balas aku. Arghh sungguh aku belum matang!

"Apa-apa aje lah! Tapi kan weyh kalau aku mati, kau jangan lupa jenguk kubur aku tau. Selalulah-selalulah jenguk kubur aku. Kalau tak, aku menjelma jadi hantu kacau kau malam-malam. Hahaha." Balas dia sambil tergelak-gelak.

"Kalau kau mati pun, aku buat benda yang sama juga." Sambung dia lagi.

~The rest is history~

*******

"Apa-apa aje lah! Tapi kan weyh kalau aku mati, kau jangan lupa jenguk kubur aku tau. Selalulah-selalulah jenguk kubur aku. Kalau tak, aku menjelma jadi hantu kacau kau malam-malam. Hahaha."

Hampir setiap hari aku lalu di hadapan kawasan tanah perkuburan itu tapi maafkan aku Faris. Aku masih belum berpeluang untuk melawat kau. Aku rasa bersalah sangat sebab tak lawat kau. Lama dah kan? Dan semalam kau datang dalam mimpi aku. Dah dua kali kau datang. Pada tahun 2010 dan kini pada tahun 2012 pula. Tapi kau tetap sama. Hanya tersenyum tanpa berucap apa-apa. Lama-lama bayanganmu makin hilang dan hilang. Faris, malam tadi terus aku tak boleh tidur sampailah sekarang! Huhu.

Sementara itu, aku hanya berbaring dan mendengar radio. Tiba-tiba Suria FM putarkan lagu Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu. Dan kenangan lalu kembali berputar seiring dengan lagu itu. Sungguh aku rindu. 

Moga kau tenang dan bahagia di sana.
Al-Fatihah.

Wednesday, April 25, 2012

Aku Mahu Terbang


Aku mahu terbang di atas langit biru itu. Menikmati ketenangan dan kebahagiaan di atas sana. Bersama burung-burung yang masih kenal erti hormat sesama makhluk. Walaupun seekor burung. Aku kagum dengan peribadinya. Di atas langit biru itu, aku boleh terbang bebas tanpa memikirkan masalah yang berkerumun di jiwa. Biarkan saja masalah-masalah itu jatuh satu persatu di atas lantai bumi, aku rela. Biarkan saja masalah-masalah itu dibawa angin lalu, aku sangat merelakannya. Melarikan diri? Mungkin. Arghh, pegecutkan aku? 

Aku mahu terbang. Tapi mungkin langit yang cerah itu akan berubah menjadi kelam. Mungkin saja warnanya yang biru itu berubah menjadi kelabu-hitam. Sungguh saat ini aku mahu kekecewaan ini diganti dengan titis-titis hujan yang lebat buat kali terakhir. Biar semua perasaan ini pergi tidak kembali lagi. Namun aku tertanya-tanya, kenapa harus aku berperasaan sebegitu sedangkan aku tidak layak langsung mempunyai sekelumit pun rasa itu? 

Sungguh aku mahu terbang sekarang.
Tolongkah fahami diri ini.


Yang Mengharap,
Aku Mahu Terbang.

Wednesday, April 11, 2012

Nikmat Apa Lagi Yang Kamu Dustakan?

Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?

Tengah hari tadi, pergi klinik. Sementara menunggu giliran yang pastinya lambat lagi, terus minta izin daripada mak untuk keluar kejap. Berjalan-jalan di sekitar klinik. Bawa Marissa sekali tentunya sebab anak dara tu memang kuat berjalan. Huhu~ Sedang merayau-rayau di sekitar klinik, mata kadangkala terlihat gelagat-gelagat pesakit. Ada yang patah tangan, patah kaki, berbalut sana, berbalut sini. Sungguh ramai insan yang diuji oleh Allah di sana. Hanya mampu mendoakan meraka dalam hati. Sungguh nikmat sakit itu hanya boleh dirasai jika kita bersabar kan? Dan orang-orang yang sabar itu akan ada ganjarannya. Sangat pasti :)

********

Bila Tuhan tarik nikmat bercakap. Hanya mampu keluarkan suara tanpa perkataan. Tak mampu bayangkan betapa peritnya orang bisu.

Bila Tuhan tarik nikmat lesu dan tidak boleh melakukan pekerjaan yang berat, semuanya rasa tak kena. Semua benda buat rasa tak selesa. Ya Allah, sabarkan diri ini.

Bila Tuhan tarik nikmat melihat sedikit demi sedikit, dunia rasa kabur. Nak melihat pun, terpaksa mengerahkan mata untuk berusaha menimbulkan objek di hadapan retina. Allah, tak mampu bayangkan macam mana orang buta meneruskan kehidupan dalam gelap.

Allahuakhbar.. Allahuakhbar..

Ampunkan dosa-dosaku. Ampunkan dosa mak dan abahku. Ampunkan dosa seluruh ahli keluargaku. Ampunkan dosa sahabat-sahabatku. Ampunkan dosa guru-guruku. Ampunkan dosa semua insan yang aku kenali. Ampunkan kami semua Ya Allah.

Syukur Allah masih beri nyawa padaku. Syukur masih banyak nikmat yang Allah beri padaku. Nikmat tangan, nikmat lapang, nikmat iman dan nikmat Islam, Alhamdulillah. Jadikan kami hambaMu yang bersyukur Ya Allah, amin.




P/S: Mari kita sama-sama menghayati pengertian ayat surah ini. Ayat-ayat cinta Allah yang sungguh indah. Allah, jadikan aku seorang hambaMu yang sentiasa bersyukur dengan nikmat yang telah Engkau kurniakan. Jadikan aku insan yang bersyukur, Ya Allah. Amin Ya Rabbal Alamin.


Wassalam,
Ilaliqa'.

Tuesday, April 10, 2012

Kerana Dirimu Begitu Berharga


Wanita itu bunga.
Bunga yang cantik kelopaknya.
Bunga yang tumbuh mekar gembira.
Bunga yang harus dipelihara sebaik-baiknya.

Wanita itu bunga indah.
Tangkainya lembut senang patah.
Hanya tangan yang agamanya gagah.
Dapat memetik dan menjaganya dengan mudah.

Wanita itu bunga agama.
Bunga yang tinggi nilainya.
Rumput-rumput mahmudah sentiasa menemaninya.
Tanah yang dibaja akhlak muslimah pelengkap hidupnya.
Siraman air agama menyuburkan kualitinya.
Jika tiada layulah dia.

Wanita itu bunga megah sebenarnya.
Megah pada manusia-manusia yang bukan mahramnya.
 Dia tidak akan memperlihatkan kelopaknya yang bersinar cahaya.
Hanya insan yang halal memilikinya.
Dapat melihat betapa indah rupa aslinya.


Wanita Solehah - 
lahir dari pakej yang pelbagai.

Tiada jalan yang singkat
atau perubahan yang segera.

Ia suatu proses - 
ada trial and error.
ada 'yes' and 'no'.


CS:
Menjadi wanita solehah itu tidak senang.
Tapi ia juga tidak susah.
=)