Assalamualaikum. Sabar itu ada batasnya! Ayat tersebut sangat sinonim dengan masyarakat kita kan? Nak tahu, dengan pemahaman seperti diatas yang ditanam dalam hati akan menyebabkan hati kita menjadi rapuh dan tidak kuat menerima segala ujian dan musibah daripada Allah dan akhirnya jiwa kita yang akan merana. Banyak orang mencipta alasan untuk lepas tangan bahawa 'sabar itu ada batasnya.'
Sesungguhnya sabar itu perintah daripada Allah SWT dengan demikian tidak akan ada batasnya. Ini sama sahaja dengan solat tapi solat dilakukan pada waktu-waktu tertentu sedangkan sabar dilakukan pada saat awal kita ditimpa musibah. Sedangkan musibah itu selama kita hidup dan tidak akan pernah berhenti sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah Al-Kahfi ayat 7 yang bermaksud "Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya."
Dalam surah Al-Ankabut ayat 2 Allah SWT berfirman yang bermaksud "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan, "kami telah beriman," sedang mereka tidak diuji lagi."
Saya sering diperdengarkan dengan kata-kata ini setiap kali ditimpa musibah. "Sesungguhnya jika Allah SWT mencintai seseorang hamba maka Dia tenggelamkan hamba itu dalam cubaan. Barangsiapa yang tidak pernah mengalami musibah maka ia jauh daripada kasih sayangNya." Bukankah dengan musibah yang kita terima itu bererti Allah SWT memberikan peluang kepada kita untuk memperoleh pahala yang sangat diperlukan dalam 'kehidupan abadi' nanti?
Ingatlah bahawa sabar tidak hanya dilakukan ketika menerima musibah sahaja namun harus juga dilakukan semasa kita diberikan kesenangan. Kerana ujian Allah SWT itu bukan hanya pada waktu kesusahan tapi terdapat juga pada waktu kesenangan. Tidak hairan jika saya berkata sebegini kerana ramai manusia yang lalai menjalankan sifat sabar apabila kesenangan sedang di nikmati di depan mata.
Mari kita renungkan firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 153 yang bermaksud "Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang sabar."
Adakah sabar itu ada batasnya? Tepuk dada tanya iman.
"Tiada namanya lautan jika ia tidak bergelora, tiada namanya bumi jika tidak ditimpa hujan dan tidak namanya kehidupan jika tiada masalah. Sebagaimana warna menyempurnakan lukisan, masalah pula adalah penyempurnaan kehidupan. Bersyukurlah, sekurang-kurangnya kamu masih hidup dan Tuhan masih mengambil berat dengan kamu, kerana itu dianugerahkan olehNya masalah. Buat kamu menajamkan lagi akalmu.Tenang dan rapatkan kedua tangan menadah doa mohon petunjuk kepada Allah swt. Kerana sesungguhnya Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."
No comments:
Post a Comment