Saturday, May 19, 2012

Cerpen: Dia Sempurna Dalam Ketidaksempurnaan, Dialah Isteriku.



Hari pernikahanku. Hari yang amat bersejarah dalam hidup aku. Seharusnya saat ini aku menjadi manusia yang paling bahagia di dunia namun entah mengapa perasaan haru biru pula yang aku rasakan. Arghh memanglah aku berperasaan begini. Pada hari bersejarah ini, tiada satu pun sanak saudara yang menemani aku  ke tempat pengantin perempuan. Lebih-lebih lagi ibu. Beliaulah insan yang paling menentang pernikahan aku ini. 

Telinga aku masih terngiang-ngiang akan lontaran kata-kata ibu kepadaku,

"Rupanya jadi juga kau nikah dengan 'perempuan gagak hitam" tuh ya?!"

Arghh. Hati aku sudah tidak senang melihat gaya percakapan ibu. Calon isteri aku dipanggil dengan panggilan yang tidak elok. Namun aku masih berdiam diri. Kesabaran aku masih tersisa.

"Kau ni agaknya dah kena sihir kot dek perempuan tu. Takkan lah kau suka dengan perempuan kulitnya hitam, gemuk dengan wajahnya yang sama sekali tak menarik. Cacat pula tuh!" Sambung ibu lagi.

"Sudah, bu! Sudah! Tak payahlah ibu menghina bakal isteri saya sekasar itu. Dia juga makhluk ciptaan Allah juga ibu. Ibu bercakap begini seolah-olah ibu menghina ciptaanNya. Sedarlah ibu. Istighfar!" Kali ini aku terpaksa membalas kata-kata ibu dengan sedikit emosi. Tapi ternyata ibu tersinggung dengan kata-kataku itu.

"Oh rupanya kau lebih memilih perempuan tu daripada keluarga kau sendiri! Baiklah Harraz, Aku izinkan kau berkahwin dengan dia tapi jangan harap sesiapa daripada ahli keluarga kita akan datang masa majlis kau nanti. Dan jangan kau bawa perempuan tu ke rumah ibu. Ibu tak benarkan!"

Ibu terus masuk ke dalam bilik dan menghempas pintu, kuat.

**********

"Harraz. Janganlah kau susah hati macam ni. Kejap lagi tok kadi sampai." Teguran Arif, sahabatku menyedarkan aku dari lamunan. Segera aku beristighfar dalam hati.

"Alhamdulillah. Tok kadi dah sampai pun. Bersiaplah, Harraz." Sekali lagi Arif memberi semangat kepada aku. Bahuku ditepuk-tepuk kuat.

"Aku terima nikahnya Khairun Solehah binti Mahmud Hassan dengan mas kahwinnya 80 ringgit tunai."

'Alhamdulillah. Ya Allah, hari ini telah Engkau izinkan aku untuk meraih setengah dien. Mudahkanlah aku untuk meraih sebahagian yang lain.'

**********

Di bilik yang amat sederhana. Di atas lantai marmar kakiku terpaku lama. Memandang isteriku yang masih menundukkan mukanya dan diam sejak tadi. Setelah sekian lama kami mendiamkan diri, akhirnya dengan lafaz bismillah aku mula menyapanya.

"Assalamualaikum. Tentang permintaan untuk hafalan Quran tu bila kita nak mulakan ya?" Tanyaku sambil memandang wajahnya yang sejak tadi disembunyikan dalam tunduknya. Sebelum kami bernikah, isteriku memang pernah meminta agar aku membacakan hafalan Quran tiap malam satu juz bermula daripada malam pertama hinggalah malam kesepuluh. Dan permintaan itu telah aku persetujui.

"Waktu qiamullail nantilah." Jawab isteriku, masih dalam tunduknya. Wajah yang masih memakai tudung putih itu, dia sembunyikan dalam-dalam. Saat kuangkat dagunya, dia seperti ingin menolak. Namun ketika aku memberi isyarat bahawa aku suaminya dan berhak untuk melakukan itu, dia menyerah.

Kini mata aku terpaku lama di wajahnya. Benar kata ibu bahawa wajah isteriku 'tidak menarik.' Fikiran tersebut bagaikan hujan lebat yang menimpa kepalaku namun segera aku mengusirnya. Matanya yang berkaca-kaca menatap bola mataku.

"Abang, saya dah katakan pada abang sejak awal taaruf lagi bahawa fizikal saya seperti ini. Kalau abang kecewa, saya bersedia menerimanya dan saya ikhlas. Namun jika abang tak menyesal mengambil saya sebagai isteri, mudah-mudahan Allah memberikan keberkatan yang banyak untuk kehidupan abang kelak. Seperti keberkatan yang Allah limpahkan kepada bapa Imam Malik yang ikhlas menerima sesuatu yang tidak dia sukai pada isterinya. Saya ingin mengingatkan abang akan firman Allah yang dibacakan oleh ibu Imam Malik pada suaminya pada malam pertama pernikahan mereka, "Dan bergaullah dengan mereka (isterimu) dengan penuh (ihsan). Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana kamu mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjanjikan padanya kebaikan yang banyak." (QS An-Nisa': 19)

Mendengar tutur kata isteriku, kupandang wajahnya yang penuh dengan airmata itu dalam-dalam. Aku teringat kisah suami yang rela menikahi seorang wanita yang mempunyai kecacatan. Dari rahim wanita itulah lahirnya Imam Malik, ulama besar umat Islam yang namanya abadi dalam sejarah.

'Ya Rabbi, aku menikahinya keranaMu. Maka turunkanlah rasa cinta dan kasih sayang milikMu pada hatiku untuknya. Agar aku dapat mencintai dan menyayanginya dengan segenap hati yang tulus ikhlas.'

Perlahan-lahan aku menghampiri isteriku. Lalu dengan tangan yang bergetar sebak, ku rangkul tubuhnya dalam dakapanku. Sementara, isteriku menangis terhenjut-henjut dengan wajah yang masih tersimpan sisa-sisa ragu.

"Jangan paksa diri abang untuk ikhlas menerima saya. Sungguh, saya terima apa-apa saja keputusan yang keluar daripada mulut abang walaupun keputusan yang akan mengecewakan saya nanti." Ucapnya lagi.

"Syuh... Tak, abang takkan buat macam tu. Sungguh sejak awal niat abang berkahwin dengan awak kerana Allah. Abang pasti dan yakin dengan niat itu. Hingga abang tidak menghiraukan lagi keluarga abang yang pulaukan abang dan tidak mahu datang majlis perkahwinan kita pagi tadi." Pujukku sambil tangannya aku genggam erat.

**********

Malam yang sangat kelam telah menunjukkan muka. Pada malam yang sunyi itu aku bermunajat dan berdoa padaNya.

"Ya Allah, tak dapat aku menidakkan bahawa kecantikan wanita itu dapat mendatangkan perasaan cinta buat insan bergelar lelaki. Namun telah kutepis syarat untuk memilih isteri kerana rupa yang cantik kerana aku ingin mendapatkan cintaMu, Ya Allah. Ya Rabbi, saksikanlah malam ini akan kubuktikan bahawa cinta sejatiku hanya akan kupersembahkan kepadaMu. Kerana itu Ya Allah, pertemukanlah aku denganMu dalam jannahMu. Tempat yang sangat didambakan oleh orang-orang mukmin. Amin.."

Langkah ku atur perlahan menuju pembaringan yang agak sederhana itu. Lalu, ku tatap raut wajah isteriku dengan seluruh hati yang ikhlas. Ah, sekarang aku benar-benar mencintainya. Kenapa tidak? Bukankah dia wanita solehah sejati. Dia sentiasa menegakkan malam-malamnya dengan bermunajat panjang pada Rabbnya. Dia sentiasa menjaga hafalan ayat-ayat Al-Quran dengan baik. Dan dia sentiasa mengamalkan sunnah Rasulnya. Sungguh dia sempurna dalam ketidaksempurnaan. Dan dialah bidadari syurgaku di dunia dan akhirat.

~~Selesai~~


P/S: Alhamdulillah. Selesai juga menulis cerpen ini. Cerpen yang ke-4 tak silap. (T_T) Sungguh aku sentiasa ingin menulis cerpen yang bermanfaat dan banyak pengajaran yang boleh diambil oleh pembaca semua. Oleh sebab itu, aku harap cerpen ini juga ada pengajaran disebaliknya ok. Hanya cerpen ringkas. So, enjoy reading! :D

P/S 2: Aku percaya kecantikan itu bersifat subjektif. Cantik tidak semestinya dinilai dengan kecantikan paras rupa, namun kecantikan juga boleh diukur dengan akhlak yang baik, ilmu yang berguna, serta cara kita membawa diri. (:

P/S 3: Terimalah pasangan hidup kita seadanya. (^_^)


Wassalam,
Ilaliqa'.

16 comments:

Anonymous said...

Nice! :'D
Awal2 lagi si isteri dah merelakan untuk suami buat keputusan. Eh? Kan? Uhuk. Si suami pulak alahai, tak bole sweet lagi ke?

Next! Hehe :p

Cik_Shiqah said...

Terima kasih. moga bermanfaat ek! :')

mungkin khairun solehah berasa rendah diri dgn keadaannya. huhu yup.

haha si suami mungkin sweet dgn tindakannya yg terima si isteri seadanya.. :D

InsyaAllah. Tunggu idea lain plk mai ok. ^^

Anonymous said...

best gila.. pandainyaa awk buat cerpen! kte fail oh bm T.T
-aishah

maDiey said...

wahh ada ciri2 novelis nie..keep it up..nk baca more cerpen lagi..
btw visit my site http://madieyfazudin.blogspot.com/

Unknown said...

Bgs cerpen ni

mmg ade ilmu di dlmnye

teruskn mnulis k

jgn hnti

Cik_Shiqah said...

aishah: alhamdulillah n syukran sbb baca.. moga bermanfaat ek.. ^^

kita mana ada terer bm sgt T_T

*******

madiey: terima kasih sudi baca.. moga bermanfaat.. :)

InsyaAllah, nanti saya terjah blog awk yer.. ^^

Cik_Shiqah said...

kak iffah: alhamdulillah time kasih baca n moga bermaanfaat..

insyaAllah :)

Ckin Kembaq said...

walaupun pendek, tapi mendalam tu.. ^_^

Cik_Shiqah said...

ckin: moga bermanfaat ek ^^

sea_lavender said...

nice cik shiqah...
teruskan penghasilan cerpen yg bermutu dan bermanfaat bg pembaca ;)

Cik_Shiqah said...

sea lavender: terima kasih.. moga bermanfaat ek.. InsyaAllah. :)

apdm said...

salam..

amat bagus di baca oleh org y mementingkan kecantikan luaran sahaja... biar dia insaf..


jemput joint contest syira :

http://www.sissyira.com/2012/05/contest-2-kata-kata-indah-sticky-post.html

Cik_Shiqah said...

sissyira: wassalam.. hehe :)

insyaAllah.. nnt saya terjah ek :D

Khai_Sol said...

best.. Btw,ada nama saya 'khairun solehah ' .. ^_^

Cik_Shiqah said...

cik khairun solehah: eh sama ek? haha klau cmtuh, samalah dgn nama kwn saya :)

Diet Diet Sihat said...

Allahuakbar

Jom kita makan Minyak Ikan